Perpaduan sebagai teras utama yang perlu diperkukuh dan diperkasakan demi sebuah negara yang bersih, seru Ketua Menteri

Profile

16 September 2019, Seberang Jaya

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melahirkan rasa syukur apabila semangat patriotisme masih utuh dalam diri setiap rakyat Malaysia meskipun terdapat pelbagai propaganda yang cuba merobohkan perpaduan negara.

Katanya, tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ sudah cukup menggambarkan harapan semua untuk terus melihat perpaduan sebagai teras utama yang harus diperkukuh dan diperkasakan demi sebuah negara yang bersih.
 
“Melihat kepada keseluruhan sambutan dan penglibatan masyarakat, Kerajaan Negeri amat bangga dengan komitmen dan semangat kerjasama yang telah ditunjukkan oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan ini.
 
“Dalam masyarakat majmuk yang diwarnai dengan kepelbagaian budaya dan latar belakang, kita masih meraikan perbezaan dan menolak titik perselisihan yang boleh merosakkan hubungan yang sedia terjalin ini.

“Sebagaimana Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, institusi keluarga yang merupakan unit terkecil dalam asas pembentukan masyarakat akan menjadi intipati serta teras utama bagi merealisasikan visi bersama ini,” ucap beliau pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat SP Arena, di sini petang tadi.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff hadir menyerikan majlis sambutan.
 
Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Timbalan Ketua Menteri I); Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II); Dato’ Sarul Bahiyah Abu (Pegawai Kewangan Negeri); Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen serta Konsul-Konsul dan Konsul Kehormat.
 
Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri telah memulakan sambutan dan kehangatan Bulan Kebangsaan dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 8 Ogos lalu.
 
Acara kemuncak Perarakan Hari Kebangsaan 2019 yang berlangsung meriah pada 31 Ogos lalu dekat Dewan Pemuda Merdeka, Butterworth disertai seramai 113 kontinjen melibatkan keseluruhan 6,490 orang peserta.
 
Serentak majlis sambutan, sebanyak enam kategori yang dipertandingkan pada Perarakan Hari Kebangsaan 2019 dan dua kategori bagi Kempen Kibar Jalur Gemilang turut diumumkan diikuti majlis penyampaian hadiah.
 
Bagi perarakan, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang mengungguli Kategori Sektor Awam Negeri dan Sektor Awam Persekutuan dinobatkan kepada Lembaga  Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
 
Empat kategori lain iaitu Sektor Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dimenangi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang, Pancaragam Sekolah (St. Xaviers Marching Band), Institusi Pengajian Tinggi (Universiti Sains Malaysia, USM) dan Ko-Kurikulum Sekolah (Kadet Pertahanan Awam SMK Convent Bukit Mertajam).
 
Manakala, bagi Kempen Mengibar Jalur Gemilang, Kategori Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diungguli oleh MPKK Bandar Tasek Mutiara, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Kategori Kelab Rukun Tetangga (KRT Taman Sungai Dua Utama, Seberang Perai Utara, SPU).
 
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN
 

-BULETIN MUTIARA-

Artikel Penuh : BULETIN MUTIARA

porn Porn