KPLB harap 539 projek infrastruktur 2021 diteruskan - Dr Abd Latiff

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

22 Januari 2021, Kuala Lumpur

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap 539 projek infrastruktur yang telah dirancang untuk 2021 dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun berhadapan dengan kekangan dan cabaran COVID-19.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, ia termasuk projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang perlu diberi keutamaan, disegerakan dan dipantau rapi pelaksanaannya.

Jelasnya, ia bagi memastikan projek berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Kata Abd Latiff, fokus kedua kementeriannya adalah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

"Kita sedia maklum, paras garis kemiskinan telah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada tahun 2019.

"Ini menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada bulan April 2020 kepada 182,116 isi rumah," katanya semasa menyampaikan amanat tahun baru kementeriannya secara dalam talian pada Jumaat.

Jelasnya, bilangan itu dijangka meningkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan rakyat untuk keluar bekerja.

Dalam pada itu kata Abd Latiff lagi, kementeriannya akan menyelaraskan semula kira-kira 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan untuk mengelakkan pertindihan.

Ia sekali gus mampu mengeluarkan mereka yang berkaitan daripada lingkaran garis kemiskinan.

Selain itu ujarnya, analisa data kemiskinan dan program lebih bersasar perlu dilaksanakan untuk memberikan impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

Beliau turut menyatakan, tumpuan juga diberikan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui pemerkasakan ekonomi luar bandar dengan mempelopori sumber ekonomi baharu.

Selain itu KPLB juga akan memperkenal strategi baharu untuk aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan serta memperkukuh sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar.

Jumlah peruntukan keseluruhan KPLB yang telah diluluskan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM10.2 bilion.

Jumlah itu adalah RM431 juta atau 4.41 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahun 2020.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.65 bilion merupakan peruntukan Pembangunan (DE) dan RM3.53 bilion bagi peruntukan Mengurus.

Sumber Artikel : AWANI

AKTIVITI 2021

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.