Dana HERS Sebanyak RM20 Juta Bantu Usahawan Wanita Desa

Profile31 Mac 2019, Tasek Gelugor (BERNAMA)

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk Dana Harapan Strategi Realisasi Keusahawanan (HERS) pada tahun ini bagi membantu usahawan wanita luar bandar mengembangkan perniagaan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata dana yang dilancarkan hari ini dicetuskan atas keprihatinan KPLB terhadap kepentingan kaum wanita luar bandar dalam bidang keusahawanan.

"Dana HERS ini adalah program khas yang memberi keutamaan kepada usahawan wanita dalam bidang keusahawanan yang bertujuan memberi bimbingan yang intensif bagi meningkatkan kapasiti berkonsepkan mentor-mentee.

"Sebagai permulaan, seramai lima orang usahawan wanita berjaya daripada kalangan peserta Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) akan membantu 40 lagi usahawanita mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Utara 1 di sini hari ini.

Sehingga hari ini, seramai 27 peratus daripada 83,693 usahawan desa yang berdaftar adalah wanita dan pihaknya mahu meningkatkannya kepada 40 peratus menjelang 2020.

Sementara itu, Rina berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM40 juta dengan dua juta pengunjung merangkumi keseluruhan KUD yang diadakan di empat lokasi iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang; Kuala Terengganu, Terenganu; Kulim, Kedah; Kota Kinabalu, Sabah dan Putrajaya pada tahun ini.

Usahawan desa menjadikan KUD ini sebagai satu platform bagi mempromosi produk dan.perkhidmatan masing-masing kepada pembeli serta meneroka pasaran baharu. 

Seramai 218 pempamer menyertai karnival itu yang melibatkan 162 gerai usahawan desa, dua gerai pembiayaan, 10 gerai makanan dan minuman, 10 gerai pempamer mesin dan lain-lain.

-- BERNAMA


 

    

     

     

     

porn Porn