DPLB jadikan luar bandar kondusif, rapatkan jurang ketidakseimbangan

Profile

27 Jun 2019, Putrajaya

Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan hari ini, akan menjadikan luar bandar menarik dan kondusif sebagai tempat tinggal, bekerja dan pelaburan, di samping merapatkan jurang ketidakseimbangan pembangunan antara penduduk bandar, luar bandar dan wilayah.

Dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, DPLB menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah mendukung Malaysia menjadi negara maju menjelang 2025 dan berpendapatan tinggi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu berkata DPLB menggariskan 10 teras, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.

Beliau berkata 10 teras itu menyentuh aspek ekonomi, keusahawanan, modal insan, prasarana, belia, wanita, kehidupan luar bandar, sistem penyampaian dan tadbir urus, biodiversiti dan perumahan.

Menurut Rina, melalui sesi libat urus yang diadakan, kementerian mengumpul lebih 1,000 aspirasi masyarakat luar bandar untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Aspirasi ini meliputi pelbagai bidang antaranya kemudahan infrastruktur, peluang pendidikan, ekonomi, kualiti hidup, urus tadbir dan kepimpinan, alam sekitar dan kenegaraan,” katanya.

Beliau berkata DPLB akan mengguna pakai visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ yang diilhamkan sejak setahun lalu tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, status sosial, gender dan kaum.

Rina berkata beberapa program ke arah mencapai visi Luar Bandar Sejahtera telah dimulakan antaranya Program Desa Harapan yang merupakan kerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan sesebuah kampung dari aspek ekonomi, keusahawanan, modal insan dan alam sekitar.

Dalam memperkasakan mutu pendidikan awal kanak-kanak agar seiring dengan kehendak semasa, beliau berkata penggubalan modul baharu pendidikan Kemas sedang giat dijalankan.

“Bagi skop prasarana pula, kementerian sedang merangka beberapa inisiatif pembiayaan swasta bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan projek-projek prasarana yang penting mengikut keperluan kampung seluruh negara menjelang 2030,” katanya.

Rina berkata kementerian merancang mengadakan sesi sebar luar bagi DPLB itu kepada pelaksana yang terlibat dalam pembangunan luar bandar.

“Ini bertujuan memberi kefahaman kepada pihak berkaitan, mengenai strategi dan langkah yang telah digariskan dalam DPLB serta bagi memastikan pelaksanaan dasar dapat dibuat dengan efektif dan teratur,” katanya.

-- BERNAMA

Artikel Penuh : BERNAMA

Lain-lain Artikel : BH Online

Pautan : 1. Ringkasan Eksekutif Dasar Pembangunan Luar Bandar

              2. Buku Dasar Pembangunan Luar Bandar


 

porn Porn