Perda beri moratorium, pengecualian bayaran sewa

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

22 Januari 2021, Butterworth

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyahut seruan kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat apabila mewujudkan moratorium dan pengecualian bayaran sewa membabitkan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM561,100.

Moratarium dan pengecualian itu adalah insentif sokongan bagi membantu usahawan, penyewa gerai, premis, tanah dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah agensi berkenaan yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengerusi Perda Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, agensi itu bersetuju untuk menggariskan beberapa bentuk sokongan selama tiga bulan bermula Januari hingga Mac ini dalam usaha membantu meringankan beban individu yang bernaung di bawah Perda.

"Beberapa insentif diperkenalkan antaranya penangguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjaman Perda yang ia akan membantu seramai 98 orang peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM130,000.

"Selain itu, Perda turut memberikan pengecualian bersasar bayaran sewaan premis perniagaan Perda membabitkan 368 premis dengan implikasi kewangan RM341,000 dan pengecualian bayaran sewa tanah milik Perda membabitkan 54 penyewa tanah yang bernilai RM73,000.

"Bagaimanapun, dua pengecualian ini adalah bersyarat apabila penyewa premis dan penyewa tanah perlu membuktikan perniagaannya terjejas dengan menunjukkan berlaku pengurangan pendapatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khaliq Mehtab berkata, 55 penyewa PPRT Tok Alang dikecualikan daripada membayar sewa rumah sepanjang tempoh moratorium berlangsung yang keseluruhannya berjumlah RM17,100.

"Melalui insentif ini dianggarkan seramai 575 penyewa atau peminjam akan menerima manfaat dengan jumlah implikasi keseluruhan sebanyak RM561,100," katanya.

Sembur Artikel : myMetro

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2021 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas