Perda perkenal semula insentif ekoran PKP 3.0

Oleh Iswan Shafiq Isa - 5 Jun 2021 @ 11:35 am

BUKIT MERTAJAM: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperkenalkan semula beberapa insentif sokongan bagi membantu meringankan beban para penyewa dan peminjam mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, insentif selama tiga bulan iaitu bermula bulan ini hingga Ogos depan itu melibatkan seramai 575 penyewa atau peminjam dengan implikasi kewangan bernilai RM561,100.

Terdahulu, katanya, insentif berkenaan telah diperkenalkan antara Januari hingga Mac lalu bagi tujuan sama.

Menurut beliau, antara insentif terbabit termasuk penangguhan serta penjadualan semula moratorium atau bayaran balik di bawah skim pinjaman Perda melibatkan seramai 98 peminjam dengan nilai implikasi kewangan sebanyak RM130,000.

“Selain itu, Perda turut menawarkan pengecualian bersasar untuk bayaran sewaan premis perniagaan dengan bersyarat iaitu penyewa premis perlu membuktikan perniagaan terjejas dengan pengurangan pendapatan serta perlu mengemukakan permohonan pengecualian dengan menghubungi ibu pejabat Perda.

“Insentif pengecualian bersasar ini melibatkan seramai 368 penyewa premis dengan implikasi kewangan sebanyak RM341,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khaliq Mehtab memberitahu, pihaknya juga memberikan pengecualian bersasar untuk bayaran sewaan tanah milik Perda sama seperti syarat yang dikenakan terhadap penyewa premis milik mereka melibatkan seramai 54 penyewa tanah dengan implikasi kewangan sebanyak RM73,000.

“Pada masa sama, kita juga memberikan pengecualian serta-merta terhadap sewaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Alang di Seberang Perai Utara (SPU) yang melibatkan seramai 55 penyewa miskin dengan implikasi kewangan sebanyak RM17,100,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber : UTUSAN MALAYSIA

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.