Institusi TVET KPLB perlu perluas kerjasama dengan pemain industri

Bernama

PUTRAJAYA:
Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PKLB) perlu memperhebatkan kerjasama dengan industri bagi membolehkan pelajarnya mendapat pendidikan serta latihan yang relevan dengan keperluan semasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar TVET bukan sahaja memerlukan bimbingan tenaga pengajar malah pemain industri yang mempunyai tenaga pakar.

"Kita tidak mahu sesebuah institusi pengajian TVET KPLB hanya ada ramai pelajar tetapi bila tamat pengajian, mereka tidak dapat kerja," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) (diperbaharui) antara Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda-Tech) dan Perodua Sales Sdn Bhd, di sini pada Jumaat.

"Apabila ada kerjasama dengan pemain industri, sudah tentu tenaga pakar akan bimbing pelajar untuk tingkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi," katanya.

Perda-Tech dan Perodua Sales telah menjalinkan kerjasama dalam bidang latihan automotif sejak 2016 bagi membolehkan pelajar dan tenaga pengajar mendapat bimbingan dalam bidang automotif daripada tenaga profesional.

Menyifatkan kerjasama antara Perda-Tech dan Perodua Sales sebagai langkah tepat, Mahdzir berkata kerjasama seumpama itu perlu diteruskan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan institusi terbabit untuk berkhidmat di syarikat perusahaan automobil kedua negara.

-- BERNAMA

Sumber Artikel : Astro Awani

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.