Sesi Mesyuarat Pemeriksaan Permohonan Bajet Program/Projek Pembangunan PERDA bagi RMKe-13 RP2 Tahun 2027

13 Mei 2026    |     Putrajaya

Sesi Mesyuarat Pemeriksaan Permohonan Bajet Program/Projek Pembangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Rolling Plan Kedua (RP2) Tahun 2027 telah diadakan bersama Kementerian Ekonomi.
 
Sesi ini diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) PERDA, Tuan Haji Anuar bin Shahab, bersama barisan pegawai PERDA dan PERDA-TECH. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Dr. Siti Nor Baiti Mustafa, Timbalan Pengarah (Latihan), Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Ekonomi.

Bagi RP2 Tahun 2027, PERDA telah mengemukakan 11 permohonan program/projek pembangunan di bawah komponen Pembangunan Modal Insan, melibatkan permohonan peruntukan pembangunan tahun 2027 berjumlah RM6.75 juta.

Permohonan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di PERDA-TECH, termasuk pemodenan fasiliti latihan, penggantian peralatan usang, pembangunan program kemahiran baharu serta pemerkasaan laluan latihan kepada belia, khususnya golongan Bumiputera, B40 dan kumpulan yang memerlukan sokongan kemahiran.

Inisiatif yang dicadangkan adalah selaras dengan aspirasi RMKe-13 untuk meningkatkan mobiliti sosial, memperkukuh pembangunan modal insan, memperluas akses kepada kemahiran industri serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara inklusif oleh rakyat.

Melalui permohonan ini, PERDA komited untuk terus memainkan peranan sebagai agensi pembangunan wilayah yang bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal, malah memperkukuh keupayaan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran belia serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat di Pulau Pinang secara mampan dan berimpak tinggi.

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.