102 Warga PERDA Sertai Kuiz Integriti Sempena Perhimpunan Bulanan

23 Disember 2025   |   Ibu Pejabat PERDA, Pulau Pinang

Pada 23 Disember 2025, semasa Perhimpunan Bulanan PERDA, Unit Integriti telah menganjurkan Kuiz Integriti menggunakan platform interaktif Kahoot sebagai salah satu inisiatif memperkukuh budaya integriti dalam kalangan warga kerja. Program ringkas tetapi bermakna ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila seramai 102 orang warga PERDA turut serta menyertai kuiz tersebut.

Penganjuran kuiz ini bertujuan menilai tahap kefahaman warga PERDA terhadap konsep asas integriti, peruntukan penting di bawah Akta 605 serta bentuk-bentuk salah laku yang perlu dielakkan dalam perkhidmatan awam. Melalui pendekatan kuiz interaktif, Unit Integriti berhasrat menjadikan pembelajaran berkaitan integriti lebih mudah difahami, menarik dan dekat dengan warga organisasi.

Hasil penyertaan menunjukkan prestasi yang membanggakan apabila kesemua peserta berjaya memperoleh markah 85% dan ke atas. Keputusan ini mencerminkan tahap kesedaran dan kefahaman yang baik dalam kalangan warga PERDA terhadap prinsip integriti dan pematuhan undang-undang.

Dalam sesi penyampaian penghargaan, tiga peserta terpantas yang berjaya memperoleh markah penuh 100% telah menerima cenderahati sebagai tanda apresiasi. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengurus Besar PERDA, Dato’ Haji Mohd Asri bin Baharum.

PERDA komited untuk terus melaksanakan program-program pendidikan integriti secara berterusan bagi memastikan setiap warga kerja memahami tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam serta memelihara reputasi organisasi sebagai sebuah agensi yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti.

GALERI GAMBAR

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.