PERDA Perkukuh Integriti Dan Kecekapan Pengurusan Kontrak Pembinaan Kerajaan

7 Oktober 2026    |     Hotel Bahang Bay

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menerusi Unit Undang-Undang telah menganjurkan Seminar Transformasi Pengurusan Kontrak Pembinaan Kerajaan 2026 bertemakan “Menerajui Tadbir Urus Kontrak yang Cekap, Telus dan Berintegriti” yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Oktober 2026 di Bahang Bay Hotel, Pulau Pinang.

Seminar yang menghimpunkan seramai 42 orang peserta ini melibatkan penyertaan warga PERDA, pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan, pengamal undang-undang, kontraktor serta wakil sektor swasta. 

Penganjuran seminar ini bertujuan memperkukuh pengetahuan serta kompetensi peserta dalam mengurus kontrak pembinaan secara lebih sistematik dan profesional, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik. Penekanan diberikan kepada pelaksanaan kontrak yang menepati skop kerja, tempoh masa, kos dan kualiti yang ditetapkan, di samping memastikan setiap proses dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peruntukan perundangan yang berkaitan. 

Selain itu, seminar ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu-isu semasa dalam industri pembinaan, pindaan perundangan, pengurusan risiko kontrak serta amalan terbaik yang boleh diaplikasikan dalam pelaksanaan projek kerajaan. Pendedahan tersebut penting dalam membantu mengurangkan risiko pertikaian kontrak, kelewatan projek, pertambahan kos, kerugian kewangan serta implikasi undang-undang yang boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan. 

Program ini menampilkan barisan penceramah yang berpengalaman dan berwibawa dalam bidang perundangan serta pengurusan pembinaan. Mereka berkongsi pandangan, pengalaman dan perspektif praktikal berkaitan pengurusan kontrak pembinaan kerajaan secara menyeluruh. Antara penceramah yang terlibat ialah YBhg. Datuk Sr Amran bin Haji Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), dan Yang Berusaha Lim Kui Li, Ketua Penasihat Undang-Undang, Kementerian Kerja Raya. 

Penganjuran seminar ini juga mencerminkan komitmen berterusan PERDA dalam memperkukuh budaya integriti, mencegah rasuah serta mempromosikan amalan tadbir urus terbaik bukan sahaja dalam kalangan warga PERDA, malah kepada semua pihak yang berurusan dengan agensi ini. Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam memperkasakan pengurusan kontrak pembinaan kerajaan yang lebih cekap, telus dan berintegriti pada masa hadapan.


Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.