Sasar TVET pilihan utama

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
Disiarkan pada: Julai 13, 2023 @ 10:00am
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kuala Lumpur: Di seluruh dunia dan negara maju, fokus makin beralih kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekali gus membuktikan bahawa ia berjaya melahirkan graduan yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Namun masih ada persepsi mengatakan TVET pilihan kedua dalam kalangan pelajar.

Justeru, dalam usaha 'menukar' persepsi mempromosi kesedaran, menarik minat dan seterusnya meningkatkan pengambilan serta kemasukan pelajar dalam TVET ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensinya menganjurkan Ekspo TVET@KKDW 2023 yang akan berlangsung bermula esok sehingga Ahad ini di Bertam Square Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Setiausaha KKDW Dato' Sri Ramlan Harun berkata, objektif utama penganjuran program untuk mempromosi program dan peluang latihan kemahiran disediakan di bawah kementerian itu.

"Menerusi Ekspo TVET@KKDW 2023 ini KKDW mahu beri peluang kepada masyarakat khususnya luar bandar untuk berinteraksi terus dengan agensi atau Institusi TVET@KKDW.

"Biasanya, promosi atau maklumat diterima rakyat melalui media sosial dan laman web. Jadi, kali ini diharap mereka boleh jumpa kita secara langsung.

"Paling penting penganjuran ekspo meningkatkan sinergi dan kerjasama di kalangan agensi serta institusi TVET@KKDW dalam satu bumbung," katanya.

Mengulas lanjut persepsi TVET sebagai pilihan kedua, Ramlan berkata, persepsi itu timbul mungkin kerana sudah terlalu lama dengan program arus perdana dan TVET dilihat sebagai pilihan kedua.

Katanya keadaan sudah berubah dan di seluruh dunia dan negara maju, fokus mula beralih kepada TVET.

Ini terbukti apabila TVET melahirkan graduan mempunyai permintaan tinggi.

"Kalau kita lihat mengikut statistik pada 2022 kebolehpasaran graduan TVET mencapai sehingga 92.5 peratus berbanding 88 peratus pada 2021.

"Jadi, kita harap dengan usaha yang berterusan ini masyarakat dapat menerima TVET sebagai pilihan utama, "katanya.

Kerajaan menerusi Belanjawan 2023 juga memperuntukkan RM6.7 bilion untuk memperkasa bidang TVET bagi 12 kementerian termasuklah KKDW.

Ia jelas menunjukkan kerajaan serius dalam memperkasa TVET.

Oleh itu, beliau berharap usaha dilakukan seperti Ekspo TVET@KKDW 2023 ini dapat menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat bahawa ia bukan pilihan kedua.

"Paling penting kita mahu semua terutama ibu bapa tahu landasan kerjaya disediakan di bawah TVET menjanjikan peluang besar kepada generasi akan datang.

"Kerajaan mesti menggalakkan TVET kerana negara bergerak selari dengan industri. Jadi, mereka penggerak kepada setiap industri yang ada ini, "katanya.

Berlangsung tiga hari bermula esok sehingga Ahad ini membabitkan penyertaan dan kerjasama 280 Institusi Pendidikan TVET@KKDW, di bawah tujuh agensi utama kementerian ini iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Manakala, Institusi Pendidikan TVET@KKDW yang terbabit adalah Akademi Kemahiran KEMAS, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), GIATMARA, Kolej KEDA, Institut Kemahiran Tinggi Perda (PERDA-TECH), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Kolej RISDA, Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor dan Kolej KETENGAH.

Menyasarkan 300,000 pengunjung dengan 100,000 fizikal dan 200,000 secara maya, selaras indikator prestasi KKDW ditetapkan yang bertema Pilihan Kemahiran Anda menjadi acara tahunan ini memfokuskan pengisian kepada enam zon.

Zon satu dan dua membabitkan Pameran Agensi dan Institusi TVET@KKDW, Pameran Rakan Strategik dan Industri, pengambilan terbuka, Demo Kemahiran, Pertandingan TVET Cilik, Pertandingan Gubahan Bouquet, Pertandingan Melukis Inai, Pertandingan E-Sport, Program Selenggara Elektrik Rumah Impian (Seri) dan Program Selawat Perdana.

Manakala di zon tiga dan empat, untuk Teknousahawan dan cabaran kemahiran menempatkan gerai jualan dan produk, Usahawan dan Inkubator Graduan TVET@KKDW, Biz Pitching dan TVET Servis, pertandingan kemahiran jahitan pakaian, penyelenggaraan basikal, motosikal, operasi dron, dan cabaran teh tarik.

Selain itu di zon 5 (Inovasi) dan zon 6 (Seminar dan Kerjaya), antara aktiviti ditawarkan pertandingan inovasi, pertandingan Arca Kreatif, Webinar Kerjaya, kisah kejayaan dan ikon TVET.

Ekspo ini membabitkan pameran rakan strategik industri yang menjalinkan kerjasama dengan Institusi TVET@KKDW seperti Perodua, Modenas dan Celcom.

Pengambilan pekerja menerusi temu duga dikendali pihak industri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO). Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 14 majikan.

Dengan pengisian program menarik Ramlan berharap ekspo itu tidak hanya mendapat sambutan baik pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi memberi pendedahan terbaik supaya mereka dapat memilih institusi sesuai.

"Kita juga berharap ibu bapa hadir dan menyokong hasrat KKDW untuk memastikan TVET akan menjadi pilihan terbaik untuk pelajar.

"Diharap ekspo ini dapat membuka mata masyarakat dan rakyat keseluruhannya betapa banyak ruang yang KKDW sediakan," katanya.

Sementara itu, KKDW turut menganjurkan Mini Karnival Usahawan Desa atau Mini KUD @ Sungai Petani yang berlangsung juga pada pada 14 hingga 16 Julai bertempat di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah.

Menyasarkan lebih 10,000 pengunjung setiap hari dengan sasaran jualan RM200,000, ia platform promosi kemudahan serta insentif disediakan kerajaan dan agensi kepada rakyat.

Katanya, melalui program itu pihaknya berharap dapat memberi ruang seluasnya untuk masyarakat tahu apa yang KKDW sediakan.

"Kita ingin jadikan Mini KUD @ Sungai Petani ini medium mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

"Selain itu, kita mahu beri peluang untuk merekameningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baru.

"Melalui program ini, peserta bertemu pelbagai pihak yang bukan hanya pembeli, tetapi pemborong dan pengedar, "katanya.

Katanya, program Mini KUD @ Sungai Petani tampil dengan pelbagai pengisian menarik buat pengunjung.

"Fokus utama pelaksanaan Mini KUD @ Sungai Petani ini adalah Jualan Usahawan disertai 100 usahawan dari pelbagai agensi di bawah KKDW, majoritinya dari luar bandar yang terbabit dari kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kategori kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian.

"Program ini turut mengetengahkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro disertai pemenang RBC yang lalu terutama dari Kedah bagi mencipta akses pasaran meluas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC, "katanya.

Aktiviti menarik lain Mini dan Petting Zoo, Ceramah Perdana menampilkan Ustaz Zul Ramli M Razali dan Prof Madya Dr Sharifah Hayaati sebagai panelis, servis motosikal percuma, perkhidmatan gunting rambut, eSport – PUBG, PS5 dan Mobile Legend Bang Bang (MLBB), Bazar Rakyat Peduli Prihatin Felcra, Pertandingan Masterchef, Pertandingan Agola, Pertandingan Dam Ular, Demo Memasak, Dandanan Diri dan Seni Tangan.

Bukan itu saja, cabutan bertuah dengan hadiah utama Motosikal Honda Dash 125 bernilai RM7,000 antara yang menanti pengunjung.

KEDA juga membawakan Pavilion Rural Tourism Kedah yang menjadi tarikan utama program di mana ia menggabungkan segmen pelancongan dari seluruh negeri Kedah termasuk yang berada di bawah pelaksanaan Program Desa Lestari yang menggabungkan nature-based lifestyleagriculture dan aktiviti ekonomi seperti Gua Sireh, Nira Nipah, Crab Farm, Keda Resort, keropok Lekor dan Kelulut Valley.

Sumber Artikel : myMetro

GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.