Terima kasih Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) – Siti Hajar

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

21 Ogos 2020, Bukit Mertajam 

Menjadi ibu tunggal bukan sesuatu yang mudah. Selain menanggung dua orang anak, Siti Hajar Saad, 52, turut menanggung seorang ibu yang uzur serta seorang adik lelaki yang mengalami masalah penglihatan. 

“Dulu semasa belum ada rumah sendiri kami tinggal di estet berhampiran. Itu pun atas belas kasihan tuan estet kerana emak dan ayah adalah bekas pekerja di situ. 

“Kemudian apabila tanah estet itu bertukar tangan, pemilik baru minta kami keluar. Saat itu terasa hidup begitu perit. Terpaksa mencari rumah sewa lain,” ujar Siti Hajar ketika kunjungan pegawai PERDA ke rumah beliau. 

Berbekalkan sedikit simpanan hasil berkerja sebagai operator pengeluaran kilang pemprosesan makanan dan sumbangan kewangan daripada adik-beradik yang lain, beliau dapat membeli sebidang tanah lot di Kampung Mengkuang, Bukit Mertajam. 

“Bila tanah tapak rumah sudah ada, hendak dirikan rumah perlukan lagi sejumlah wang yang agak banyak, masa itu kak rasa memang sudah tidak mampu lagi,” tambah beliau. 

Kemudian Siti Hajar mencuba memohon bantuan rumah ke Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Pulau Pinang pada tahun 2018. Beliau bernasib baik nama beliau telah dipanjangkan oleh PPN kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan terpilih untuk menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). 

“Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada KPLB kerana bantuan rumah ini memang amat diperlukan dan meringankan beban bayaran sewa setiap bulan, serta menjadi tempat berlindung yang selesa untuk kami sekeluarga,” kata beliau lagi. 

Sebanyak 11 buah rumah (PPRT) telah dibangunkan oleh PERDA di dalam kawasan operasinya. Jumlah tersebut adalah berdasarkan peruntukan yang diterima daripada KPLB yang berjumlah RM530,000.00. 

Pemilihan peserta adalah daripada golongan keluarga yang miskin serta mengambil kira keadaan rumah peserta sedia ada. Sebahagian dipilih berdasarkan rumah peserta yang rosak atau musnah akibat kebakaran. 

Nilai seunit rumah yang dibangunkan oleh PERDA di bawah program PPRT KPLB ini ialah RM48,000.

GALERI GAMBAR

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.