12 Februari 2026 | Labuh Banting
Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) telah mengadakan satu lawatan kerja dan sesi perbincangan bersama Perodua Sales Sdn. Bhd. bagi persetujuan penyambungan kerjasama strategik yang telah terjalin sejak lebih sedekad lalu.
Lawatan ini bertujuan membincangkan hala tuju serta potensi peluasan kolaborasi antara kedua-dua pihak, khususnya dalam memperkasa program latihan automotif agar terus relevan dengan perkembangan teknologi industri semasa. Tumpuan utama diberikan kepada bidang Kenderaan Elektrik (Electric Vehicle – EV) yang kini menjadi fokus transformasi industri automotif di peringkat global dan nasional.
Perbincangan turut merangkumi aspek pelaksanaan latihan industri, pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran teknikal serta pembangunan kemahiran dan peningkatan kompetensi tenaga pengajar dan pelajar. Sesi ini juga menjadi platform strategik bagi mendapatkan input industri berkaitan keperluan tenaga kerja automotif masa kini dan masa hadapan, khususnya dalam bidang EV.
Delegasi PERDA-TECH diketuai oleh Tuan Rohaimi Bin Othman, Pengarah PERDA-TECH bersama barisan pengurusan dan tenaga akademik institusi.
PERDA-TECH kekal komited memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri utama negara dalam memastikan program latihan yang ditawarkan sentiasa berdaya saing dan memenuhi keperluan sebenar industri. Inisiatif ini selaras dengan agenda memperkasa ekosistem TVET serta menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi negara.
Pihak PERDA-TECH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Perodua Sales Sdn. Bhd. atas kesudian menerima kunjungan dan komitmen berterusan dalam menjayakan kolaborasi strategik ini.

Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas
