27 Januari 2026 | Politeknik Negeri Padang, Indonesia
PERDA-TECH Perluas Jejak Antarabangsa | MoU TVET ASEAN Pertama Bersama Politeknik Negeri Padang
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) melalui Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat serantau menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Politeknik Negeri Padang (PNP), Indonesia.
Kerjasama ini merupakan pencapaian bersejarah apabila ia menjadi kali pertama PERDA-TECH menjalinkan hubungan kerjasama antarabangsa, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperluas jaringan strategik TVET di peringkat ASEAN.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkaya amalan terbaik dalam pembangunan akademik dan modal insan, meneroka pendekatan TVET berprestasi tinggi yang menekankan aspek kualiti, integriti dan akauntabiliti, serta memperkukuh kurikulum berasaskan industri bagi membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada graduan.
Politeknik Negeri Padang merupakan institusi TVET yang diiktiraf oleh Kerajaan Indonesia dengan penawaran kurikulum yang menumpukan 60 peratus latihan praktikal dan 40 peratus teori, di samping memiliki kepakaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan Data Raya (Big Data).
Melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ini, kedua-dua institusi akan bekerjasama dalam pelaksanaan latihan dan pembangunan tenaga pengajar serta pelajar, program pertukaran pelajar, serta perkongsian kepakaran termasuk pelaksanaan projek inovasi bersama.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi PERDA untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan menjadikan TVET sebagai pemangkin pembangunan modal insan yang berdaya saing, progresif dan relevan di peringkat ASEAN.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (DASAR), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta YBrs. Encik Mohd Nazri bin Mohd Deni, SUB Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran, KKDW.

Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas
