Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah Puan Norma binti Ramli, 37 tahun apabila melihat rumah impian untuk didiami beliau dan keluarga sudah siap dibina di atas tanah milik ayahnya sendiri. Beliau adalah merupakan antara penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin kategori Bina Baru di bawah komponen SPKR yang meliputi bantuan rumah PPRT dimana peruntukannya disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kepada pihak PERDA sebagai agensi pelaksana.
Beliau yang juga merupakan peniaga kuih-muih dan nasi lemak di tepi jalan berdekatan Permatang Rawa merupakan tulang belakang keluarga apabila suaminya terpaksa berhenti kerja kilang kerana tidak mampu melakukan kerja-kerja berat disebabkan menghidap penyakit buah pinggang kronik.
“Buat masa sekarang, suami yang akan membantu saya menjalankan perniagaan yang menjadi sumber pendapatan utama sekarang”, ujar Norma. Beliau juga bersyukur kerana suaminya juga menerima wang pencen SOCSO yang sikit sebanyak mengurangkan beban kewangan mereka. Selain itu, dua daripada empat orang anaknya juga menghidap penyakit sawan.
Objektif bantuan rumah PPRT adalah untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan keluarga.
Syarat bantuan Bina Baharu diberikan kepada peserta ialah peserta tidak mempunyai rumah, rumah yang didiami terlalu uzur dan tidak selamat didiami, tidak ekonomik untuk dibaiki, memiliki tanah sendiri (pemilikan penuh); atau pemilikan tanah sebahagian atau mendapat kebenaran menggunakan tanah daripada Tuan Tanah (tanah atas milik ibu/bapa/adik-beradik/saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengan pemohon atau tanah Kerajaan atau tanah wakaf) dengan mengemukakan Borang Kebenaran Menggunakan Tanah.
Kriteria-kriteria kelayakan keutamaan bantuan diberikan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai, mangsa bencana yang berskala kecil, keutamaan pelaksanaan program ini adalah kepada negeri-negeri dan daerah yang mempunyai kadar kemiskinan tegar.