Satu sesi cabutan bertuah telah diadakan semalam melibatkan seramai 74 orang pembeli-pembeli rumah teres kos sederhana Taman Sungai Bakap Perdana Fasa 1 yang layak menyertai acara ini.
Acara yang berlangsung secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Webex ini berlangsung dari Dewan Mutiara Wawasan, Ibu Pejabat PERDA, Butterworth.
Hadiah-hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah Perodua Myvi 1.5 (H) Auto, sebuah motosikal Yamaha Y15zr, satu pakej umrah bernilai RM6500.00, sebuah peti sejuk Samsung Digital Inverter, dua unit Samsung FHD Smart TV dan Apple i-Pad.
Manakala pembeli yang tidak berjaya memenangi hadiah utama, mereka akan menerima hadiah berupa baucar tunai peralatan elektrik atau perabot yang bernilai RM500.00.
Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Mohd. Asri Baharum dan Pengurus Bahagian Hartanah dan Teknikal, Mohd. Azam Dahalan telah menyempurnakan acara cabutan bertuah ini disaksikan oleh dua wakil penduduk di Dewan Mutiara Wawasan, selain dapat disaksikan secara langsung secara dalam talian oleh semua pembeli yang terlibat.
Kesemua pemenang cabutan bertuah hadiah utama akan menerima hadiah masing-masing daripada Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Penyediaan hadiah-hadiah cabutan bertuah ini merupakan sebahagian daripada promosi yang dilakukan oleh PERDA dalam usaha untuk merancakkan jualan hartanah khususnya rumah kos sederhana di taman yang dibangunkan ini.
Mereka yang layak mendapat tempat bagi cabutan undi hadiah utama ini adalah berdasarkan tempahan pembelian rumah sebelum tarikh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi projek perumahan ini yang telah diperolehi pada 26 Januari lalu.
Untuk makluman, Taman Sungai Bakap Perdana Fasa 1 menyediakan 112 unit rumah teres kos sederhana dengan harga yang ditawarkan bermula dari RM325,000.00.
Pembangunan fasa 1 ini merangkumi pembangunan 72 unit rumah kluster kos rendah, 5 unit kedai/pejabat 2 tingkat, sebuah surau, sebuah dewan serba guna dan gerai penjaja sebanyak 8 unit.