Butterworth
“Berikutan dari laporan kegagalan penerima vaksin hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada tarikh temujanji adalah tinggi. Antara sebab ketidakhadiran mereka ialah ketiadaan kenderaan untuk pergi ke PPV.
“Ia amat ketara bagi golongan di luar bandar khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan yang kurang berkemampuan. Bagi tujuan ini, PERDA akan menggerakkan aset kenderaan dan pemandu PERDA secara percuma untuk membantu golongan ini.” Demikian dinyatakan oleh Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq di dalam kenyataan beliau ketika melancarkan program #FreeRideToVac.
Program ini akan bermula dari 21 Jun 2021, menumpukan golongan sebagaimana di atas yang tinggal di daerah Seberang Perai Utara dahulu.
“Saya tawarkan kepada mereka yang berkeperluan untuk mendapatkan perkhidmatan kenderaan ke PPV boleh menghubungi PERDA Call Centre di talian 04-3141100. Permohonan perkhidmatan ini hendaklah dibuat tiga hari sebelum tarikh temujanji vaksin yang ditetapkan,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, “saya menyeru di sini kepada semua masyarakat luar bandar di negeri ini untuk bersama-sama kita menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan oleh kerajaan. Mohon segerakan pendaftaran kepada yang belum berdaftar suntikan vaksin.”
Program #JomDaftarVaksin diadakan oleh PERDA berikutan pendaftaran penerimaan vaksin yang rendah di kalangan masyarakat luar bandar. Melalui inisiatif ini PERDA akan menggerakkan sejumlah warga kerja PERDA untuk menyampaikan maklumat dan penerangan kepada masyarakat luar bandar dan menggalakkan mereka untuk mendaftar diri sebagai penerima vaksin.
Sebagai permulaan program ini, PERDA telah memilih tiga lokaliti bersasar iaitu Taman Desa Rakyat, Tasek Gelugor SPU, Kampung 20, Penaga SPU dan Kampung Indera Timbalan, Simpang Ampat SPS. Pemilihan ketiga-tiga tempat ini berdasarkan ia merupakan kawasan penempatan masyarakat miskin di daerah Seberang Perai. Pelaksanaan program ini dijadual akan diadakan pada minggu keempat bulan Jun.
“Sebagaimana perancangan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, menjadi harapan yang besar untuk kita bersama-sama menjayakan PICK agar kita dapat menginjak ke Fasa 4 (Fasa Akhir) pada bulan November akan datang. Sekiranya berjaya, semua sektor akan kembali dibuka sepenuhnya termasuk sektor sosial dan kita semua akan dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.” Ujar beliau lagi.