06 Januari 2021, Teluk Bahang, DBD
Sejumlah RM1 Juta telah diperuntukan bagi membangunkan Projek Desa Lestari Kampung Labuh Banting di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang telah dipilih oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebagai projek rekreasi dan pelancongan luar bandar.
Untuk pembangunan projek ini, PERDA telah dilantik sebagai agensi pelaksana dalam menyelia pembangunan projek ini bersama dengan Koperasi Nelayan dan Komuniti Labuh Banting Pulau Pinang Berhad.
Sebagai langkah awal perancangan pelaksanaan projek, satu bengkel penyelarasan projek telah diadakan pada 5 dan 6 Januari 2021 bertempat di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang. Bengkel yang melibatkan seramai 20 orang peserta meliputi pegawai-pegawai dari Bahagian Pembangunan Hartanah dan Teknikal, Bahagian Pembangunan Ekonomi dan Bahagian Pembangunan Insan PERDA.
Bengkel ini telah memutuskan butiran pembangunan projek yang akan dilaksanakan iaitu pembinaan medan selera, bangunan pejabat koperasi, stor simpanan, kolam memancing, pembelian catamaran cruise, basikal dan kayak.
Projek yang dirancang ini dijadual akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022. Ia dijangka akan merubah lanskap sekitar pesisir sungai di Jeti Nelayan Kampung Labuh Banting di samping merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.