SPIM bantu ringankan beban usahawan yang terjejas kerana PKP – Pengerusi Perda

User Rating: 3 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar InactiveStar Inactive
 
21 Disember 2021 - Hotel The Light, Seberang Jaya

“160 buah syarikat telah diluluskan permohonan pembiayaan Skim Pinjaman Mudah Perniagaan (SPIM) sejak ia mula diperkenalkan pada bulan Februari tahun ini. Manakala sebanyak 208 syarikat masih di dalam peringkat pertimbangan", kata Khalid Mehtab Mohd Ishaq, Pengerusi Perda ketika menyampaikan ucapan perasmian di Program Himpunan Keusahawanan Perda (HIKE) 2021 di Hotel The Light.

“Saya faham bahawa jumlah yang diberikan masih tidak mencukupi untuk perniagaan dan jumlah yang diterima tidak seperti yang dimohon, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban perniagaan yang terkesan dari tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membendung pandemic Covid-19", tambah beliau lagi.

Pelaksanaan PKP sejak tahun lalu telah memberikan kesan besar kepada sesetengah sektor ekonomi menyebabkan sebahagian besar pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kehilangan sumber pencarian mereka.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab di dalam perkembangan serta kelangsungan usahawan-usahawan luar bandar di Pulau Pinang, Perda telah menyediakan dana sebanyak RM 5 juta dalam bentuk pinjaman modal pusingan di bawah program SPIM ini.

Selain itu, Perda juga telah menyediakan pelbagai insentif lain seperti moratorium pembayaran balik pembiayaan perniagaan, pengecualian pembayaran sewaan premis perniagaan dan tanah kepada para pengusaha.

Tambah Khalid lagi, Perda meletakkan harapan yang tinggi kepada para peminjam SPIM agar berusaha untuk melunaskan bayaran balik pinjaman ini supaya dana ini dapat  disalurkan lagi kepada usahawan lain yang perlu.

Beberapa agensi kerajaan yang menjalin kerjasama strategik dengan Perda di dalam usaha pembangunan usahawan di negeri ini turut hadir antaranya Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP), Mara, Fama, SMECorp., PUNB dan beberapa lagi.  

GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2021

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.