Bulan Integriti disambut pada bulan November setiap tahun bagi meraikan Hari Integriti Nasional yang disambut pada 5 November dan Hari Antirasuah Sedunia pada 9 Disember. Sambutan Hari Integriti peringkat PERDA bagi tahun 2021 telah diadakan pada 16 November 2021 dengan tema Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia, selari dengan tema di peringkat nasional.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Miqdad bin Mohamad Jan, Pegawai Eksekutif (K-Komuniti) diikuti oleh bacaan Ikrar Integriti yang diketuai oleh Ketua Unit Integrit, Puan Saidatul ‘Izzat binti Mohamad Shukri.
YBrs Dato’ Rosman bin Haji Hashim selaku Pengurus Besar PERDA kemudiannya telah memberikan ucaptama. Beliau menyentuh tentang perlunya anggota kerja PERDA menghayati kandungan ikrar integriti terutamanya dalam mengamalkan nilai-nilai murni yang berteraskan agama dalam menjalankan tugas.
Ini kerana integriti bukan hanya merujuk kepada perlakuan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan sahaja malah perlu dijadikan amalan dan ‘pakaian’ secara peribadi terutamanya dalam penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Bicara Integriti bertajuk Kesalahan-kesalahan Di Bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 oleh Penolong Penguasa Tuan Mazlan bin Haja Maideen dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Cawangan Pulau Pinang.
Sasaran taklimat ini adalah kepada anggota kerja yang terlibat mengendalikan perolehan di setiap bahagian. Ini adalah untuk mendedahkan kepada mereka kesalahan-kesalahan yang mungkin berlaku dalam pengendalian proses perolehan dan akibatnya.
Majlis tamat pada pukul 12.00 tengah hari.
#perda#merealisasikanharapanrakyat
#kplb
#luarbandarsejahtera