KPLB selaras semula program basmi kemiskinan luar bandar

User Rating: 1 / 5

Star ActiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

22 Januari 2021, Kuala Lumpur

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyelaraskan semula 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan di luar bandar seiring dengan Paras Garis Kemiskinan (PGK) semasa dan situasi COVID-19 yang masih melanda negara.

Menterinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata penyelarasan itu bagi mengelakkan pertindihan program selain menjangkakan peningkatan bilangan golongan miskin di luar bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Kita sedia maklum, PGK telah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada 2019. Ini menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada April 2020 kepada 182,116 isi rumah,” katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2021 KPLB menerusi Facebook kementerian tersebut hari ini.

Beliau berkata analisis data kemiskinan dan program lebih bersasar juga perlu dilaksanakan untuk memberikan impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

Abd Latiff berkata KPLB juga akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Pertanian Malaysia dalam usaha mempelopori sumber ekonomi baharu bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. 

“Tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada komoditi seperti sawit dan getah tetapi juga tanaman-tanaman kontan yang lain,” jelasnya.

Katanya kementerian akan memperkenal strategi baharu untuk merancakkan aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan yang terkesan teruk berikutan penularan COVID- 19 untuk meningkatkan taraf hidup golongan itu.

Abd Latiff berkata KPLB juga akan memperkukuh sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar menerusi Desamall@KPLB
Desamall@KPLB dalam meningkatkan jualan dalam talian terutama dalam tempoh PKP. 

“Selain itu, pembangunan outlet fizikal Rural Business Outlet (RBO@KPLB) dan menambah baik peranan Pusat Komuniti Desa sebagai hab (outlet) juga dapat membantu meningkatkan nilai jualan usahawan luar bandar,” katanya. 

Beliau berkata KPLB juga akan menumpukan kepada program pembangunan modal insan untuk memperkasa komuniti luar bandar dalam menjadikan golongan itu lebih berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan. 

Selain itu, katanya institusi pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan VokasionaL (TVET) seliaan KPLB perlu menyediakan tenaga pengajar dan modul pembelajaran bagi memastikan kebolehpasaran mahasiswa seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)

Sementara itu, Abd Latiff berkata KPLB berharap agar 539 projek infrastruktur yang telah dirancang untuk tahun ini dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun berhadapan kekangan dan cabaran berikutan wabak COVID-19. 

Beliau berkata rancangan tersebut termasuk projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 yang perlu diberi keutamaan, disegerakan dan dipantau rapi supaya dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, Abd Latiff turut menyentuh beberapa pencapaian KPLB sepanjang tahun lalu antaranya pembinaan dan naik taraf jalan raya di luar bandar sepanjang 182.85 km yang memberi manfaat kepada 180,000 orang. 

Pencapaian lain termasuk membina dan menaik taraf 322.43 km Jalan Perhubungan Desa yang memberi manfaat kepada 146,150 orang serta Program Bekalan Air Luar Bandar kepada 7,249 rumah yang memberi manfaat kepada 36,245 orang.


Sumber Artikel : BERNAMA


AKTIVITI 2021

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.

Laman Web Rasmi PERDA