26 April 2021, Hotel Bahang Bay
GEORGETOWN: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menawarkan tanah seluas 138 hektar untuk tempoh 10 tahun kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bagi membangunkan Projek Perintis Taman Agro Teknologi Pertanian Perda.
Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata, tanah itu melibatkan kawasan sedia ada iaitu Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM I) seluas 59.5 hektar dan Kawasan Baru (TKPM II) seluas 78.5 hektar.
Katanya, kedua-dua tanah milik Perda yang ditawarkan bagi projek berkenaan terletak di daerah Seberang Perai Utara.
“JPNPP akan mengawal selia projek ini bagi program keselamatan makanan dengan membangunkan Projek Perintis Taman Agro Pertanian Perda menggunakan kaedah teknologi pintar dan terkini.
“Program ini akan membantu petani dan pengusaha pertanian di Seberang Perai Utara dan negeri ini serta menjadi kawasan penyedia makanan sihat dan selamat untuk Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis memorandum persefahaman (MoU) Projek Taman Agro Teknologi Perda antara Perda dan JPNPP.
Dalam majIis MoU itu, Perda diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Rosman Hashim manakala JPNPP diwakili Pengarahnya, Mohd. Muhaimin Ibrahim.
Menurut Henry, menerusi MoU yang dimeterai itu, JPNPP akan menyediakan kemudahan infrastruktur serta sokongan teknikal manakala Perda menyediakan tanah untuk diusahakan.
“Kaedah pemilihan peserta untuk projek ini akan dibuat bersama Perda serta JPNPP dan peserta terpilih akan menandatangani perjanjian penyewaan bersama Perda sebagai pemilik tanah,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin kerjasama antara Perda dan JPNPP menerusi MoU yang ditandatangani itu akan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta membangunkan kawasan pertanian moden.
“Projek ini juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta meningkatkan sosioekonomi penduduk,” katanya.
Dalam pada itu katanya, projek tersebut akan bermula Jun ini dan peserta bakal mengusahakan tanaman kontan serta sayur-sayuran seperti halia dan lain-lain tanaman.
Sumber : UTUSAN