05 Januari 2021, Kepala Batas
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bercadang untuk melonggarkan syarat kelayakan permohonan bantuan di bawah program Sokongan dan Pengukuhan Usahawan Luar Bandar (SPKLB).
Pengerusinya, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata penularan COVID-19 telah menjejaskan pendapatan usahawan dalam kalangan B40, M40 dan usahawan-usahawan kecil yang perlu dibantu untuk kembali pulih dan PERDA akan sedaya upaya memudahkan urusan permohonan bantuan.
“Dalam masa terdekat, PERDA akan adakan lebih lagi program dan inisiatif lain buat para usahawan di bawah bimbingan PERDA. Kami akan umumkan pakej bantuan untuk usahawan yang kini sedang dalam proses perbincangan.
"Dalam majlis penyerahan bantuan hari ini, 35 peratus daripada penerima adalah dari kalangan anak muda. Saya ingin mengambil kesempatan menyarankan kepada golongan muda supaya ambil cabaran untuk menjadi seorang usahawan kerana dengan berniaga bukan sahaja dapat menjana ekonomi diri tetapi juga demi keluarga, masyarakat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program SPKLB di sini hari ini.
Sebanyak 28 orang usahawan yang lulus permohonan, menerima bantuan berupa mesin dan peralatan atau dinaik taraf premis, yang mana bantuan itu disampaikan menerusi dana daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar berjumlah RM393,910.
Seorang penerima Muhd Akasyah Khairudin, 22, berkata geran bernilai RM10,000 yang diperolehinya akan digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kedai gunting rambut miliknya dengan membeli perkakas dan kemudahan lebih baik untuk pelanggan.
Muhd Akasyah mengikuti kursus gunting rambut sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memiliki perniagaan perkhidmatan gunting rambut yang diusahakan sendiri di Paya Keladi, Kepala Batas sejak tiga tahun lepas.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula diumumkan, memang saya terjejas teruk, tidak ada langsung pendapatan. Namun, selepas dibenarkan beroperasi, saya mula mengambil tempahan gunting rambut dari rumah ke rumah untuk elakkan orang ramai bersesak di kedai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau dan rakan-rakannya juga sering berkunjung ke kawasan luar bandar dan pedalaman untuk memberikan khidmat gunting rambut percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan dan tamat cuti sekolah.
Sumber : BERNAMA