Dapat peluang tebus kecewa

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Tasek Gelugor: Kekecewaan tidak mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terubat apabila ditawarkan mengikuti pengajian di Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda Tech) dalam bidang kemahiran.

Lebih bermakna, Mohd Nujaid Syahmi Mohd Nazri, 23, dan Nor Aqilah Abdullah, 24, yang masing-masing berjaya menamatkan pengajian mereka dikurniakan Anugerah Pengurus Besar dan Anugerah Khas pada Majlis Konvokesyen Perda Tech kali ke-11 di Dewan Midtown Kubang Menerong, di sini, baru-baru ini.

Mohd Nujaid berkata, dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah mengikuti kursus Diploma Kemahiran Malaysia (Teknologi Komputer) pada 2019 apabila tidak mendapat sebarang tempat ke universiti awam sebaik tamat SPM.

Katanya, perkembangan bidang teknikal dan latihan vokasional (TVET) kemudian mendorong dirinya memilih mengikuti pengajian berteraskan kemahiran di Perda Tech dan ternyata ia bukan sia-sia kerana menjamin masa depan yang cerah.

Walaupun berdepan cabaran dengan tugasan membangunkan sistem aplikasi baharu sepanjang tempoh pembelajaran tetapi saya berasa puas kerana tenaga pengajar yang sentiasa membantu menghulurkan pertolongan, di samping prasarana yang memuaskan serta setanding dengan institut pendidikan lain di luar sana.

"Sekarang saya bekerja di sebuah syarikat di bahagian teknologi maklumat (IT) yang semua proses pembelajaran diaplikasikan dalam pekerjaan saya.

"Lega sangat walaupun saya tidak dapat masuk ke universiti selepas tamat SPM tetapi saya mendapat peluang mempelajari bidang kemahiran yang mempunyai masa depan amat cerah berikutan graduannya mendapat permintaan tinggi daripada pihak industri," katanya yang dianugerahkan Anugerah Pengurus Besar.

Bagi Nor Aqilah yang menetap di Penaga, Kepala Batas berkata, dia teruja apabila dipilih menerima Anugerah Khas Perda Tech dengan disaksikan kedua ibu bapanya yang banyak memberi sokongan sepanjang tempoh bagi memperoleh Diploma Multimedia Kreatif.

"Saya pada mulanya bercita-cita ingin menjadi seorang guru tetapi belum ada rezeki sehingga hati saya terbuka untuk masuk belajar di Perda Tech yang banyak sangat ilmu kemahiran dapat saya pelajari.

"Apa yang saya suka belajar mengenai kemahiran ini kerana ia mendedahkan kepada pelajar mengenai alam pekerjaan sebenar memandangkan prasarana dan kemudahan yang disediakan sama sahaja seperti institut pengajian yang lain.

"Jadi bagi saya, belia di luar sana khususnya pelajar SPM yang tidak mendapat tempat belajar di universiti tidak perlu kecewa, sebaliknya memanfaatkan bidang kemahiran untuk pergi lebih jauh, tambahan pula melalui kemahiran juga dapat mengasah seseorang itu terjebak dalam bidang keusahawanan," katanya yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, Nurul Izzah Mohd Asri, 24, yang memperoleh Sijil Seni Reka Fesyen tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk tamat belajar bahkan bercita-cita untuk membuka sebuah butik menjahit pakaian.

"Saya seorang yang bertubuh kecil (kerdil) dan sepanjang pengajian melalui cabaran untuk melakukan tugasan menghasilkan pakaian yang ukurannya lebih besar berbanding saya.

"Namun atas tunjuk ajar tenaga pengajar serta bantuan rakan-rakan saya mampu menyiapkan tugasan yang diberikan," katanya yang mengambil upah menjahit pakaian di rumahnya di Merbau Kudung, Sungai Dua.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 564 graduan Perda Tech masing-masing menerima diploma dan sijil yang disampaikan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda Mohd Asri Baharum mewakili Pengerusi Perda Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Disiarkan pada: November 16, 2022 @ 7:25am

Sumber Artikel : MyMetro
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2022

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.

Laman Web Rasmi PERDA