Tingkat kerjasama kerajaan-swasta lahir graduan TVET

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
Disiarkan pada: Januari 21, 2022 @ 6:04pm
 

Putrajaya: Kerjasama kerajaan dan pemain industri perlu ditingkatkan untuk melahirkan lebih ramai model insan berkemahiran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan mahu memastikan lebih ramai generasi muda menguasai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan bersedia bekerja sebaik tamat pengajian.

Beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus mengarusperdanakan TVET bagi memastikan negara memilik lebih ramai generasi muda berkemahiran.

"Saya menyokong kerjasama antara agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dalam melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang automotif.

"Graduan automotif menerusi kerjasama ini berjaya menempatkan diri dalam bidang automotif atau meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Diperbaharui) antara Perda dan Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB).

Turut hadir, Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Perda menerusi Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech) memperbaharui kerjasama dengan PSSB untuk tempoh lima tahun lagi.

Menerusi kerjasama ini, sejak 2016 seramai 3,240 pelatih Perda-Tech dan staf Perodua mendapat manfaat dalam bidang automotif.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, PSSB menawarkan pembelajaran kepada pelatih berdasarkan keperluan terkini bidang automotif.

Menurutnya, dalam tempoh 2016 hingga 2021, seramai 350 graduan sijil dan Diploma Automotif Perda-Tech ditawarkan pekerjaan di Perodua seluruh negara.

"Perodua berharap kerjasama ini akan memberikan pendedahan yang meluas kepada pelatih mengikut keperluan dan teknologi terkini industri automotif," katanya.


Sumber Artikel : Harian Metro


AKTIVITI PERDA

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2022 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.