KPLB peruntuk RM1 juta untuk PROSTEM di P.Pinang

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

BALIK PULAU, 24 Mei (Bernama)

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) bagi sekolah di Pulau Pinang sebagai langkah untuk menarik minat pelajar menekuni subjek atau bidang Sains, Matematik dan Sains Tulen (STEM) dengan lebih baik.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata peruntukan disalurkan menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) itu akan memberi manfaat dan inisiatif kepada 71 sekolah melibatkan seramai 1,245 pelajar serta 50 guru STEM.

"Program Rural Outreach STEM ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai program galakan minat pelajar luar bandar dari kategori B40 terhadap subjek STEM dan Pulau Pinang merupakan projek perintis.

"Saya percaya melalui kerjasama yang ditunjukkan pendidikan STEM ini dilihat bakal melahirkan generasi muda yang memiliki intelektual tinggi dalam bidang sains
dan teknologi. Sekali gus berupaya memacu ekonomi negara dan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran PROSTEM di Sekolah Kebangsaan Seri di Teluk Kumbar di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi PERDA Khaliq
Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid JPN Pulau Pinang Mohamad Said Ibrahim.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata pelbagai aktiviti dan pertandingan akan dilaksanakan menerusi PROSTEM antaranya ‘Science Cafe,’ ‘National Science Challenge' dan
Science Education’ dalam memberikan peluang serta ruang untuk STEM sentiasa dekat di hati komuniti, khususnya golongan muda.

"Selain itu, program yang dilaksanakan menerusi inisiatif PROSTEM ini juga meliputi insentif set robotik Logo Education, Robotic Workshop, Coding Kidz@PERDATECH, Little Scientist dan Mathzania serta Program Training on Trainers untuk guru STEM di Pulau Pinang," katanya.

Katanya melalui aktiviti permainan yang mencabar, menyeronokkan dan bermakna, ia boleh menarik minat para pelajar kepada Pendidikan STEM, terutama mereka yang berada di luar bandar.

"Pengunaan bahan kempen bersifat visual dan bukan visual melalui pendekatan media sosial, perlu dipergiatkan dalam mempromosikan STEM kepada golongan muda kerana media sosial telah menjadi platform yang paling dekat dengan mereka ketika ini," katanya.

Menurutnya bidang STEM juga merupakan bidang penting dalam mendepani revolusi Industri Revolusi 4.0 yang masih belum menerima sokongan mencukupi daripada agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan.

Hasbi berkata KPLB dan PERDA berharap dengan inisiatif ini dapat mendorong pelajar luar bandar khususya keluarga B40 untuk meminati STEM selain mampu menyediakan pelajar terutama kumpulan sasar sekolah rendah Tahun 4 sehingga 6 dan pelajar Tingkatan 1 sehingga 3 dalam mendepani landskap perubahan teknologi negara menerusi Revolusi Industri 4.0.

Katanya sekolah juga harus memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan permainan yang memberi pengalaman yang menarik serta menyeronokkan.

"Penglibatan pelajar dalam program PROSTEM seumpama ini akan memberi pendedahan luas dalam meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi seterusnya mengasah bakat agar lebih kreatif dan berinovasi selaras dengan kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21 ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga merancangan untuk memperluaskan PROSTEM ke negeri lain dan ia akan dilaksanakan menerusi agensi di bawah KPLB.

"KPLB ada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH) dan kami akan perluaskan PROSTEM itu menerusi agensi-agensi tersebut supaya lebih ramai murid serta pelajar mendapat manfaatnya," katanya.

-- BERNAMA

Artikel Penuh : BERNAMA.com


AKTIVITI 2022

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.