PERDA peruntukkan RM200,000 bantu 10 usahawan bimbingan mendapatkan Pensijilan Halal 2022

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

14 Jun 2022  |  Hotel Ixora, Perai

PERDA telah memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi membantu 10 syarikat atau usahawan bimbingan Perda untuk mendapatkan pensijilan halal pada tahun ini. Nilai bantuan yang diterima oleh setiap syarikat secara purata di bawah program ini adalah sebanyak RM20,000.

“Daripada jumlah tersebut, RM10,000 adalah untuk perkhidmatan perundingan manakala RM10,000 lagi bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf premis perniagaan,” demikian dinyatakan oleh Pengerusi Perda Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq ketika merasmikan pelancaran Majlis Pelancaran Program Pensijilan Halal Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) Perda di Hotel Ixora, Perai.

Tambah beliau, berdasarkan rekod, ketika ini terdapat sebanyak 552 syarikat (dengan 10,892 jenis produk berdaftar, Sumber: Portal Halal Malaysia JAKIM) di Pulau Pinang yang telah memperoleh pensijilan halal. Namun, bilangan syarikat bumiputera yang mempunyai sijil halal di Pulau Pinang adalah agak kecil.

“Peruntukan sebanyak RM200,000 ini bukanlah suatu jumlah yang besar. Masih ramai usahawan di luar yang masih perlu dibantu dalam mendapatkan pensijilan halal. Bagaimanapun, usaha ini diharap dapat menjadi batu loncatan kepada para usahawan untuk mengorak lebih jauh dalam industri halal.”

“Produk-produk halal ini bukan sahaja mendapat tempat di kalangan pengguna yang beragama Islam. Kini pengguna dari pelbagai latar belakang agama serta pelbagai organisasi di peringkat antarabangsa semakin menitik beratkan nilai halal kerana ia serasi dengan usaha meningkatkan kesejahteraan kesihatan dan sosial, melindungi alam sekitar dan etika perniagaan,” katanya.

Beliau menambah, hal ini merupakan suatu aset yang amat bernilai bagi negara ini untuk muncul sebagai hab halal serantau mahupun antarabangsa. Dengan memiliki standard yang berstatus global ini, sudah tentu keyakinan pengguna terhadap produk halal yang berjenamakan Malaysia dapat ditingkatkan lagi.

“Menjadi hasrat Perda, bukan tahun ini sahaja malahan pada tahun-tahun yang akan datang, PERDA akan terus berusaha membimbing lebih ramai usahawan dalam mendapatkan pensijilan halal ini,” katanya.

Mengikut laporan dalam Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), trend permintaan domestik oleh pengguna di Malaysia bagi keseluruhan jenis produk halal didapati semakin meningkat.

Pada ketika ini, Malaysia merupakan salah sebuah Kerajaan Islam yang menjadi pelopor kepada pengeluaran sijil halal kepada pelbagai jenis produk. Malaysia juga telah berjaya menyediakan standard halal sendiri iaitu MS1500:2019 yang diikitraf dunia.

Foto : Unit Perhubungan Awam / MEDIA PERDA
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2022

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.