KPLB mahu usahawan luar bandar kuasai kemahiran digital

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

TASEK GELUGOR, 11 September (Bernama) : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan usahawan luar bandar agar melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia berikutan dunia sentiasa mengalami perubahan dan pemacu asas ke arah perubahan adalah tranformasi digital iaitu penggunaan teknologi digital dalam urusan perkhidmatan atau perniagaan.

“Para usahawan digalakkan untuk menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran digital bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian malah beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan.

“Memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan, sebab itu KPLB menyediakan kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk untuk memulakan perniagaan dalam talian termasuk menyediakan platform DesaMall@KPLB,” katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Ekspo Usahawan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) (EXPERT) Tahun 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown PERDA di Kubang Menerong di sini. Turut hadir Pengerusi PERDA Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Mengulas mengenai EXPERT Tahun 2022, Mahdzir berkata ekspo itu diperkenalkan bertujuan untuk mempromosikan produk keluaran usahawan khususnya usahawan luar bandar Pulau Pinang dan platform tersebut juga memberi ruang menyeluruh kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan mahu pun menceburi bidang keusahawanan.

Katanya, penganjuran EXPERT itu melibatkan 186 penyertaan dengan menyasarkan nilai jualan dan pemerolehan kontrak berjumlah RM1 juta serta kehadiran lebih 40,000 pengunjung sepanjang empat hari program berlangsung dari 8 Sept sehingga hari ini.

“EXPERT kali ini membawa tema ‘Usahawan Luar Bandar Tonggak Ekonomi Negara’ dan ia diperkenalkan berpandukan Teras Strategik 1 dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan teras tersebut menyasarkan Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro menyumbangkan sebanyak 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, EXPERT itu juga antara lain untuk meningkatkan penyertaan usahawan dalam pelbagai bidang ekonomi dengan menghimpunkan pelbagai sektor dan peringkat dalam satu ekspo bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk usahawan atau peluang pekerjaan.

“Berdasarkan maklumat daripada PERDA, ketika ini terdapat seramai 1,365 usahawan bimbingan mereka dengan 200 daripadanya telah berjaya mempunyai kilang atau premis sendiri bagi menjalankan perniagaan. Kami harap EXPERT ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya.
-- BERNAMA

Artikel Penuh : BERNAMA


AKTIVITI 2022

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.