PERCUTIAN berkonsepkan alam semula jadi sambil menyelami dan mempelajari budaya serta tradisi masyarakat kampung tidak lagi asing di Malaysia.
Namun, kebanyakan percutian sedemikian kurang mendapat perhatian memandangkan ramai lebih gemar bercuti di kawasan bandar yang mempunyai jaringan pengangkutan serta penginapan lebih luas.
Contohnya, di Pulau Pinang berpusu-pusu pelancong dalam dan luar negara masuk, tetapi rata-rata memilih mengunjungi lokasi sama, sedangkan ada banyak lagi aktiviti percutian boleh terokai antaranya pelancongan berkonsepkan agrotourism.
Berkesempatan mencuba salah satu pakej agrotourism kendalian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), baru-baru ini, ia amat mengujakan penulis merasai pengalaman sangat berharga.
Aktiviti bermula dengan menyelusuri Sungai Perai sejauh 5.7 kilometer (km) dari Jeti Nelayan Pengkalan Machang ke Labuh Banting sebelum dibawa menikmati juadah sarapan orang kampung seperti ubi dan pisang rebus dicicah dengan kelapa muda serta peknga (lempeng) dan gulai ikan seekor.
Juadah itu mengimbau kenangan penulis bersama arwah datuk dan nenek suatu ketika dahulu, kini jarang lagi ditemui walaupun pulang ke kampung ibu di Kuala Kangsar, Perak.
Selesai bersarapan, mencuba menembak dengan senapang dan peluru diperbuat daripada kayu bemban dan kemudian membedek tin kosong pada jarak 100 meter.
Kami masing-masing kekok mengisi peluru ke dalam senapang, tetapi tidak mengalah mencuba.
Kira-kira 20 minit bermain, kami dibawa mengelilingi sawah padi dan kawasan kampung dengan berkayuh basikal sejauh 5 km sebelum mencuba pelbagai lagi aktiviti lain.
Perhentian pertama kami, melihat demonstrasi penyediaan ikan pekasam dan tapai sebelum diperkenalkan dengan pokok serta tumbuh-tumbuhan di kampung itu.
Aktiviti menjadi semakin menarik apabila memasukkan tangan ke dalam satu kotak rahsia tanpa mengetahui apa isinya sehingga jeritan serta ketawa bergema apabila mendapat tahu ia belut.
Penduduk turut bersama kami juga terhibur dengan gelagat peserta dan menjadi kenangan terindah patut dirasai oleh semua orang, jika ada kesempatan.
Tunjuk skil anyam ketupat
Kami juga dibawa merasai madu kelulut sebelum berkayuh basikal ke tempat aktiviti menganyam daun ketupat palas.
Di sini, peserta tidak melepaskan peluang menunjukkan kemahiran dan teknik masing-masing sebelum diteliti juri.
Tidak jauh dari situ hati teruja dapat melihat pembuatan dodol menggunakan dapur kayu diusahakan sebuah keluarga dan berkesempatan mengacau adunan sebelum bergerak ke lokasi menjala ikan.
Aktiviti kami diakhiri dengan minum air kelapa muda, menikmati juadah makan tengah hari dengan pelbagai lauk kampung antaranya patin tempoyak, gulai ikan haruan, ikan pekasam dan pelbagai ulam-ulaman membangkitkan selera.
Sebelum bertolak ke Pangkalan Nelayan Pokok Machang singgah mengutip kangkung yang tumbuh melata di sungai.
Selepas eksplorasi hampir lapan jam itu percutian berkonsepkan agrotourism nyata berbeza, rasa tenang dan damai tetapi ia membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk kampung.
Bagi Pengerusi Koperasi Nelayan Labuh Banting, Mohd Nizam Ahmad, berkata uniknya dalam pakej agrotourism itu adalah mengikut kehendak peserta.
"Kita ada pakej dirangka tetapi terpulang peserta untuk lakukan aktiviti lain.
"Pada 2020 koperasi ini memperoleh peruntukan RM1 juta selepas memenangi Anugerah Desa Lestari yang kemudian kita membeli 20 basikal serta dua bot katamaran untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan di kampung ini.
"Kita sedang menaiktaraf medan selera, membaik pulih tandas, mengecat jeti, mewujudkan kolam pancing udang galah serta banyak lagi," katanya pakej itu turut mendapat sambutan pelancong luar negara seperti Amerika Syarikat, Belanda, China, India, Australia, Korea dan Jepun.
Pengurus Besar PERDA, Mohd Asri Baharum, berkata program diperkenalkan pada April 2018 itu bertujuan untuk menyumbang terhadap peningkatan tahap pendapatan masyarakat luar bandar dan daya saing industri pelancongan.
"Terdapat pelbagai pakej menarik boleh dicuba antaranya pakej promosi 'RM10 kaw-kaw deals', selain daripada pakej Kampung Trail RM5, pakej Explorace serta pakej Team Building.
Peniaga makanan, Norizan Yaacob, 55, berkata dia tidak menyangka projek agrotourism dilaksanakan merancakkan lagi perniagaannya dan dikunjungi ramai.
"Pelbagai juadah orang kampung dan mi udang jadi pilihan utama pengunjung di gerai ini, selain menu jarang ditemui.
Sumber Artikel : BH Online

Eksplorasi selami jiwa orang kampung
- Hits: 398
GALERI GAMBAR