09 Mac 2024 | Permatang Rambai, Kepala Batas
Pelaksanaan Program PERDA Santuni Komuniti Madani #PERDA Di Hati pada tahun 2023 telah berjaya dilaksanakan sebanyak enam (6) siri dan telah memanfaatkan seramai lebih dari 4,000 orang masyarakat khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar. Sehubungan dengan itu, kesinambungan program ini dicadang untuk diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2024 agar manfaat kepada komuniti luar bandar dapat diteruskan.
Program PERDA Santuni Komuniti Madani ini adalah satu daripada inisiatif PERDA dalam usaha untuk membantu dan mensejahterakan masyarakat. Program ini dilaksanakan khusus bersama komuniti luar bandar dengan pendekatan mendekati kumpulan sasar ini agar turut sama memperoleh maklumat serta manfaat terkini berkenaan inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dengan membawa perkhidmatan yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan ke kawasan kampung dan desa.
Selain itu, menerusi program ini juga semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dapat terus memberikan perkhidmatan secara menyeluruh dan inklusif kepada masyarakat.
Komuniti luar bandar merupakan salah satu komponen kumpulan sasar terbesar dan PERDA perlu memastikan manfaat serta faedah pelaksanaan program/projek yang dilaksanakan turut dapat dinikmati oleh kumpulan sasar ini.
Selain daripada pelaksanaan Program PERDA Santuni Komuniti Madani ini, PERDA juga turut melaksanakan program-program kemasyakaratan menerusi Program Pembangunan Komuniti Harmoni yang memfokuskan kepada aspek kesukarelawan, pemantapan kepimpinan komuniti luar bandar, tadbir urus pengurusan organisasi yang berkesan serta kesejahteraan kampung.
Program ini dirancang untuk diadakan di kawasan-kawasan terpilih di sekitar negeri Pulau Pinang dan telah mula dilaksanakan pada 3 Mac 2024 dan akan selesai siri pelaksanaannya pada September 2024.
Pengisian untuk setiap siri pelaksanaan program ini akan melibatkan aktiviti ceramah motivasi / keibubapaan, jualan Agro Madani bersama pihak FAMA, sumbangan program peningkatan ekonomi, aktiviti cabutan bertuah serta lain-lain aktiviti berkonsepkan kekeluargaan dan kemasyakaratan.
Selain itu, pada hari ini juga seramai 200 orang penduduk setempat telah terpilih untuk menerima sumbangan Bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas untuk kegunaan harian.
Program pada hari ini juga turut melibatkan kerjasama PERDA dengan pihak Perpustakan Desa Negeri Pulau Pinang di dalam acara pertandingan mewarna kanak-kanak. Seramai 50 orang peserta dalam kalangan kanak berusia 6 hingga 12 tahun telah turut serta dalam pertandingan mewarna ini.
Majlis telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Reezal Merican bin Naina Merican, ADUN Bertam.
GALERI GAMBAR