Perda lonjak pencapaian usahawan Pulau Pinang

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Zuhainy Zulkiffli
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kepala Batas: Seramai 1,247 usahawan di negeri ini sudah menerima manfaat dalam pelbagai program keusahawanan dan perniagaan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sepanjang tahun 2024.

Sebanyak 29 program dianjurkan sepanjang tahun antaranya ialah Latihan Tranformasi Perniagaan dan Pengkomersialan Produk Luar Bandar.

Pengerusi Perda, Datuk Wira Ir Dr Shaik Hussein Mydin berkata, Perda juga membiayai usahawan menerusi Program Expo Perda (Expert) membabitkan seramai 252 pempamer, dengan pencapaian nilai jualan sebanyak RM 437,468.30 serta RM2,595,864 perolehan sepanjang empat hari penganjurannya.

Manakala bagi Program Mentor Mentee Usahawan pula, seramai 55 peserta menerima manfaat berupa bantuan mesin atau peralatan yang keseluruhannya berjumlah RM275,000.

"Perda juga terbabit dengan pemberian geran mesin dan peralatan kepada usahawan di bawah Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) yang mana seramai 15 peserta menerima geran dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 78,538.

"Seramai tujuh peserta diberi pinjaman menerusi Skim Pinjaman Mudah Perniagaan (SPiM) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380,000," katanya, hari ini.

Terdahulu, Shaik Hussein melancarkan Program Himpunan Usahawan Perda 2024 (Hike Perda) yang berlangsung di Bertam Resort, di sini.

Menurut Shaik Hussein lagi, menerusi kejayaan 'Program Visit My Kampung' bagi inap desa di bawah bimbingan Perda, seramai 61 pengusahanya mendapat manfaat.

Manakala seramai 77 usahawan lagi menerima manfaat bantuan mesin atau peralatan yang keseluruhannya bernilai RM308,000 dalam Program Start Right (PSR@KKDW).

"Perda juga menganjurkan Program Memupuk Ekonomi Peniaga Kecil (MEPK) yang memberi manfaat kepada seramai 37 peniaga kecil dengan nilai bantuan berjumlah RM 253,300.

"Diharap usaha ini menjadi platform pemantapan jati diri usahawan menerusi seminar dan ceramah motivasi kepada usahawan selain mewujudkan jaringan kerjasama berterusan antara agensi dan usahawan," katanya lagi.

Terdahulu pada majlis yang dihadiri seramai 250 usahawan itu turut dilancarkan Program TikTok Stars (PTS) bagi pencarian bakat usahawan Perda dengan jualan capaian KPI yang ditetapkan iaitu hadiah kumulatif bernilai RM50,000.

Shaik Hussein juga menyerahkan replika cek kepada usahawan yang menerima manfaat.

Antara pengisian program ialah Ceramah Motivasi Keusahawanan; sesi libat urus agensi bersama usahawan Bumiputera; slot perkongsian llmu dan tips dalam perniagaan dan kaunter informasi oleh agensi jemputan.

Disiarkan pada: November 30, 2024 @ 7:01am

Sumber Artikel : myMetro 


AKTIVITI 2024

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2025 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.