30 Julai 2024 | Tasek Gelugor
PERDA menerima kunjungan dari Cawangan Pengurusan Psikologi KKDW, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, bersama 19 orang AKRAB agensi daripada MARA, FELCRA, RISDA, JAKOA, KEMAS, dan KEJORA yang turut serta dalam Program Kembara AKRAB@Utara 2024.
Program di PERDA dimulakan dengan Program 'Explorace' di Agrotourism Labuh Banting, Tasek Gelugor. Aktiviti bermula dengan menikmati sarapan tradisional kampung, iaitu peknga (lempeng) dan gulai ikan seekor.
Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada kumpulan dan memulakan penjelajahan dengan menyusuri Sungai Perai dari Labuh Banting sambil memetik kangkong untuk tugasan pertama.
Tugasan kedua melibatkan cubaan menembak dengan senapang dan peluru diperbuat daripada kayu bemban serta membidik tin kosong pada jarak 100 meter. Selepas itu, peserta mengelilingi sawah padi dan kawasan kampung dengan berkayuh basikal sebelum mencuba pelbagai lagi aktiviti lain.
Tugasan ketiga adalah demonstrasi penyediaan tapai, diikuti dengan meneka pokok dan tumbuh-tumbuhan di kampung tersebut, serta berbasikal ke tempat aktiviti menganyam daun ketupat palas. Peserta menunjukkan kemahiran dan teknik masing-masing sebelum dinilai oleh juri.
Tugasan keempat pula melibatkan pembuatan dodol menggunakan dapur kayu, diusahakan oleh sebuah keluarga. Peserta berkesempatan mengacau adunan dan mengetahui rahsia kesedapan dodol tersebut sebelum bergerak ke lokasi menjala ikan.
Aktiviti diakhiri dengan menikmati air kelapa muda dan makan tengah hari dengan pelbagai lauk kampung seperti patin tempoyak, gulai ayam kampung, kerabu jantung pisang, ikan goreng dan pelbagai ulam-ulaman yang membangkitkan selera.
Pada sebelah petangnya, di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Cawangan Pengurusan Psikologi KKDW memberikan pendedahan mengenai pengurusan psikologi KKDW, membentuk cara kerja yang harmoni, serta meningkatkan kerjasama antara pegawai dan anggota.
GALERI GAMBAR