24 Disember 2024 | Ibu Pejabat PERDA
Pada perhimpunan bulanan yang diadakan pada bulan Disember 2024, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum, Pengurus Besar PERDA telah menyampaikan amanat dan membentangkan pencapaian agensi tersebut sepanjang tahun 2024.
Dalam ucapannya, beliau telah memberi penghargaan kepada semua warga PERDA atas usaha keras dan pencapaian cemerlang yang telah dicapai sepanjang tahun ini.
Salah satu perkara penting yang diumumkan dalam majlis tersebut ialah pelancaran dua sistem baharu yang dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat PERDA, iaitu iMeetRoom dan eCash. Sistem iMeetRoom bertujuan mempermudah komunikasi dan mesyuarat dalam talian, manakala eCash pula merupakan platform pembayaran digital yang memudahkan transaksi kewangan di PERDA.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian Sijil Urus Setia bagi Program Latihan Antarabangsa Rural Tourism Towards Integrated Rural Development (CIRDAP) Tahun 2024. Program ini adalah salah satu inisiatif PERDA dalam memperkasakan sektor pelancongan luar bandar dan memastikan pembangunan luar bandar yang lebih mampan.
Dalam perhimpunan ini juga, Sijil Penghargaan telah diberikan kepada 45 orang Personel MyStep PERDA yang telah berkhidmat sepanjang tahun 2024. Anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam menyokong pelaksanaan program dan projek di PERDA.
Majlis turut menyaksikan pemberian Anugerah Penghargaan Staf Ikon PERDA bagi bulan September hingga November 2024. Dua anggota kerja PERDA dipilih berdasarkan komitmen dan prestasi memberangsangkan yang mereka tunjukkan sepanjang tempoh tersebut.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian Mock Cheque Wakalah Zakat berjumlah RM 25,000.00 daripada Bank Islam kepada PERDA-TECH sebagai sokongan kewangan untuk memperkasa pembangunan teknologi dan inovasi di PERDA - TECH.
Perhimpunan bulanan ini diakhiri dengan sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Puan Hereti binti Desa, Pengurus Teknologi Maklumat dan Cik Massuria binti Mat Husin, Pengurus Pembangunan Insan. Kedua-dua mereka berkongsi pengalaman berharga hasil lawatan kerja ke luar negara, Puan Hereti membentangkan topik GRP Beyond Borders: Embracing Digital Government yang merangkumi perkembangan dalam kerajaan digital yang beliau pelajari semasa lawatan ke Turki, manakala Cik Massuria membincangkan pengalaman beliau di Jepun.
Majlis ini mencerminkan komitmen PERDA dalam terus memajukan diri melalui penggunaan teknologi, pemberian penghargaan kepada pekerja yang berdedikasi, dan memperkukuhkan hubungan dengan pelbagai pihak dalam usaha memajukan pembangunan luar bandar di Malaysia khususnya di Negeri Pulau Pinang.
GALERI GAMBAR