Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan kerjasama PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 pada 18 Mei 2023 bertempat di PERDA Convention Centre, Kubang Menerong, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Majlis ini diadakan bagi menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan di samping dapat bertemu mesra mengeratkan silaturahim dan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri antara warga kerja PERDA dan masyarakat Pulau Pinang serta rakan- rakan strategik yang lain.
Dalam majlis ini juga, PERDA Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB) telah melancarkan dua buah projek perumahan mampu milik yang akan dibangunkan di daerah ini dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah binti Wang.
Pelancaran Taman Ara Suria dan Taman Ara Damai pada hari ini merupakan antara usaha PERDA bersama PVISB, menawarkan rumah mampu milik kepada orang ramai.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian dan pemberian sumbangan duit raya kepada anak- anak tahfiz dan juga kepada anak- anak anggota kerja PERDA serta PVISB. Tidak terkecuali, Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan PERDA juga turut menerima sumbangan daripada Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Semoga Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada semua dalam menghayati dan mengamalkan segala amalan yang afdhal dilaksanakan dalam kita bergembira menyambut Aidilfitri yang mulia.
Semoga segala ibadah dapat kita laksanakan dengan sempurna dan disertai dengan amalan sunat yang dapat mendekatkan diri kepada Allah seretusnya untuk mencari keredhaanNya di dunia dan di akhirat. Selain itu semoga Aidilfitri yang diraikan ini membuka seribu ruang kemaafan sesama warga PERDA dan menjalinkan silaturrahim yang lebih utuh sebagai sebuah keluarga.
Turut hadir adalah YB Nor Hafizah Binti Othman, ADUN Permatang Berangan, YBhg. Dato' Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Ybhg. Datuk Che Murad Sayang Bin Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, YBhg. Dato’ Haji Zulkifli Bin Long, Ahli Lembaga Pengarah PERDA, Ketua- Ketua Jabatan dan Agensi Negeri Pulau Pinang, Pimpinan- Pimpinan Kerajaan Perpaduan dan Pemimpin- Pemimpin Masyarakat.
GALERI GAMBAR