Perda Tech perkasa pendidikan TVET

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Disiarkan pada: Disember 10, 2023 @ 7:04am

Nibong Tebal: Minat mendalam dalam bidang kejuruteraan mendorong anak kepada peniaga kedai runcit di Bagan Serai, Perak tidak berputus asa mencari jalan menyambung pengajian sehingga mendapat tempat di Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda Tech).

Siti Hajar Rohizat, 24, berkata selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia hanya mendapat tawaran ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berikutan keputusan kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun anak bongsu daripada lima beradik itu tetap mahu mempelajari ilmu kejuruteraan dan bersyukur apabila dapat melanjutkan pengajian di peringkat sijil kemudian disusuli diploma dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Rekabentuk Produk.

"Disamping itu, saya bertuah kerana menjadi sebahagian yang dapat mempelajari pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang sangat diperlukan dalam industri.

"Semasa latihan industri apa yang dipelajari saya dapat dipraktikkan yang ia memberi satu kemudahan dan kini saya telah memperoleh pekerjaan sebagai pembantu jurutera di sebuah kilang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Perda Tech Kali ke-12 di sini, semalam.

Majlis Konvokesyen yang membabitkan seramai 405 pelajar itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun.

Terdahulu, Siti Hajar turut menerima Anugerah Ibnu Khaldun atas pencapaian cemerlangnya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Dalam pada itu, Ahmad Nazif Mohd Nizar, 22, yang menerima Anugerah Al Awwam dan Anugerah Pelajar Terbaik pada majlis konvokesyen itu kini menyambung pengajiannya di Politeknik Kota Bharu, Kelantan dalam bidang kejuruteraan mekanikal pertanian.

"Pertama sekali mengapa saya minat bidang pertanian kerana masa sekolah dulu saya tengok petani boleh buat duit banyak.

"Oleh sebab itu saya nak masuk belajar tetapi Perda Tech ini membuka minda saya yang dahulunya saya fikir hanya nak buat duit tetapi sebenarnya ia meluas kerana boleh belajar mengenai soal teknologi.

"Apatah lagi, sepanjang belajar di sini sangat seronok kerana banyak kemudahan walaupun pada awalnya saya nampak biasa sahaja tetapi fasilitinya cukup selesa, disamping setiap pelajar diberikan elaun sebanyak RM250 sebulan," katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang petani moden.

Sementara itu, Ramlan berkata, beliau berbangga apabila tahap kebolehpasaran graduan Perda Tech yang tamat pengajian tahun lalu merekodkan 72 peratus mendapat pekerjaan, manakala 20 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Sehingga kini, Perda Tech telah menawarkan 18 program pengajian yang mempunyai kebolehpasaran dalam pelbagai bidang bermula daripada peringkat Sijil Kemahiran Khas, Sijil dan Diploma.

"Pada masa sama pelbagai pengiktirafan yang telah diperolehi oleh Perda Tech daripada Malaysian Qualification Agency (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), CISCO Academy, COMPTIA, Suruhanjaya Tenaga (ST), The Welding Institute (TWI) dan sebagainya juga membuktikan Perda Tech telah diiktiraf sebagai salah sebuah institut pengajian kemahiran yang boleh menjadi destinasi untuk mendapatkan pendidikan kemahiran tinggi," katanya.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serius dalam usaha memartabatkan pendidikan TVET supaya lepasan pelajar yang mengikuti bidang itu menjadi sebagai pilihan utama majikan untuk mendapatkan pekerja mahir.

Sumber Artikel : myMetro


AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.