PERDA buka laluan kepada pelajar aliran agama sertai TVET menerusi Tahfiz@PERDA-TECH

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
07 Mar 2023 06:05pm

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) sentiasa mencari ruang serta peluang untuk menjalinkan kolaborasi bersama pusat tahfiz dalam usaha melahirkan lebih ramai huffaz yang memiliki kemahiran Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi mencapai matlamat itu, PERDA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama dua institusi pendidikan agama iaitu Madrasah Darul Uloom Shaikh Zakariyya (DUZAK) di Parit Buntar, Perak, dan Sekolah Menengah Agama Maahad As-Shaksiah Tahfiz Sains (MATSA) di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, program TVET Tahfiz@PERDA-TECH itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar aliran agama untuk mendapatkan pendidikan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

Jelas Ramlan, program tersebut melibatkan pengajian kursus kejuruteraan kimpalan dan kejuruteraan automatif yang dibiayai sepenuhnya oleh PERDA.

“Program rintis selama enam hingga 12 bulan ini dibiayai sepenuhnya oleh PERDA yang melibatkan pengajian kejuruteraan kimpalan dan kejuruteraan automotif bagi fasa pengambilan pertama bermula tahun lalu di Insititut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Nibong Tebal.

“PERDA-TECH turut menguruskan hal berkaitan kebajikan, disiplin, keselamatan, fasiliti pembelajaran hingga ke persijilan kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Persijilan Kemahiran Malaysia yang diiktiraf Kerajaan Malaysia,” jelasnya pada Majlis Menandatangani MoU di PERDA, Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Mas Rizal Mohd Hilmi; Pegawai Tugas-Tugas Khas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz; dan Penasihat Kehormat MATSA, Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff.

Dalam majlis itu, pihak PERDA telah diwakili Pengurus Besarnya, Mohd Asri Baharum sementara DUZAK diwakili Pengerusi Kompleks Islam Shaiks Zakariyya, Mohd Noor Ariffin manakala MATSA diwakili Pengasasnya, Osman Bin Jaafar.

Dalam pada itu ujar Ramlan, untuk sesi pengambilan pertama TVET Tahfiz@PERDA-TECH, dua kursus akan disediakan sementara modul pembelajaran akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Di samping itu, kita turut menilai keupayaan pelajar yang mengikuti kursus ini selain memperhalusi kesediaan fasiliti dan pusat tahfiz yang berminat untuk menjalinkan kerjasama pada masa akan datang,” katanya.


Sumber Artikel : Sinar Bestari


AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.