Pelajar tahfiz bakal penuhi keperluan industri

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
5 Mac 2023, 1:54 pm


BUTTERWORTH: Pelajar tahfiz kini berpeluang menggabungkan kemahiran serta pendidikan akademik bersifat ‘ukhrawi’ dan ‘duniawi’ sekali gus mempersiapkan diri untuk mendepani dunia pekerjaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, program rintis TVET Tahfiz@PERDA-TECH menjadi platform bagi pelajar aliran agama membabitkan dua institusi pengajian terpilih memperoleh kemahiran menerusi kursus kimpalan dan automotif.

Jelas beliau, dua kursus itu ditawarkan bagi sesi pengambilan pertama, namun modul pembelajaran akan ditambah baik dari masa ke semasa.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu menyeimbangkan perihal duniawi dan ukhrawi, malah berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.

“Di samping itu, kita turut menilai keupayaan pelajar yang mengikuti kursus ini selain memperhalusi kesediaan fasiliti dan pusat tahfiz yang berminat untuk menjalinkan kerjasama untuk sesi pengambilan akan datang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Persefahaman Program TVET Tahfiz@PERDA-TECH antara Perda bersama dua institusi pendidikan agama iaitu Madrasah Darul Uloom Shaikh Zakariyya (DUZAK) di Parit Buntar, Perak dan Sekolah Menengah Agama Maahad As-Syakhiah Tahfiz Sains (MATSA) di Simpang Ampat, di sini semalam. 

Seramai 19 pelajar daripada kedua-dua institusi terbabit kini mengikuti kursus pengajian secara percuma yang dijangka berlangsung selama enam bulan hingga setahun.

Sementara itu, salah seorang pelajar kursus kimpalan, Muhammad Syafiq Rahim, 24, berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah untuk membahagikan masa antara kedua-dua pengajian yang diikuti ketika ini.

“Kursus di PERDA-TECH berlangsung dua hari seminggu dan hari lain ditumpukan terhadap pengajian kitab di DUZAK.

“Kadang-kadang, ketika sedang berkursus kerja ‘welding’ pun kami boleh mengaji dan mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Saya juga bersyukur kerana dapat mempelajari kemahiran kimpalan sekali gus meluaskan lagi peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN


Sumber Artikel : Utusan Malaysia


AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.