PH-BN lebih serasi atur gerak kerja - Ahmad Zahid

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 5, 2023 @ 7:01pm

TASEK GELUGOR: Keserasian antara pemimpin gabungan BN dan PH dalam membincangkan apa jua program termasuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah lebih baik berbanding PN.

Merujuk kepada apa yang berlaku terhadap Presiden GERAKAN Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang 'dihalau; dari majlis PAS sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata insiden itu memberi gambaran bahawa antara pemimpin dalam PN tidak mempunyai keserasian sehingga pemimpin tertinggi diperlakukan sedemikian.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, berbeza dengan gabungan BN dan PH yang keserasian antara mereka bukan bersifat tiruan tetapi ia adalah sesuatu yang sahih atau asli.

"Saya perhatikan keserasian (BN-PH) bukan hanya dalam kalangan pemimpin peringkat nasional dan peringkat kawasan Parlimen sahaja tetapi di bahagian peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Ini adalah acuan yang telah ditetapkan oleh kepimpinan BN dan PH dalam beberapa mesyuarat penyelarasan Majlis Kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang saya berterima kasih kerana ianya turut diterjemahkan di peringkat akar umbi.

"Berbeza dengan PN, yang mereka ada PAS, BERSATU tetapi pemimpin utama Presiden GERAKAN telah tidak dibenarkan dalam majlis kempen anjuran PN yang ini memberikan gambaran bahawa tidak ada keserasian dari segi penyatuan jentera, malah pada hemat saya GERAKAN harus sedar bahawa mereka sebenarnya menjadi tunggangan atau hanya menunggang PN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Tebuka Agropelancongan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyerahkan dua unit bot katamaran untuk diusahakan tiga koperasi nelayan dalam Parlimen Tasek Gelugor bagi tujuan memperkasakan pelancongan agro sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, walaupun BN hanya menawarkan enam calon untuk bertanding di Pulau Pinang, tetapi jentera PH turun membantu bagi memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan.

"Jentera BN dengan jentera PH akan bersama-sama bukan hanya memenangkan calon di enam kawasan ini tetapi jentera BN juga membantu jentera-jentera PH di kawasan-kawasan DUN yang lain," katanya.

Ditanya berhubung prestasi BN di Pulau Pinang selepas seminggu tempoh kempen, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pengundi akan membuat pilihan dengan memilih wakil rakyat dari parti itu sekali gus memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.

"Kita tidak tahu lagi prestasi sebab mereka belum menang tetapi dari segi latarbelakang mereka, saya yakin keenam-enamnya akan didukung oleh bukan sahaja kepimpinan tetapi oleh pengundi di kawasan yang bakal mereka wakili," katanya.

Sumber Artikel : BHONLINE

AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.