Perda Tech tawar 465 tempat kursus sijil, diploma TVET

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
20 Jun 2023

Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda Tech) yang terletak di Nibong Tebal, di sini, menawarkan 465 tempat kepada individu khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin mengikuti pengajian di bawah institusi itu bagi sesi kemasukan Julai 2023.

Perda Tech yang dikendalikan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) adalah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bertanggungjawab membangunkan modal insan luar bandar secara komprehensif.

Menurut Pengarah Perda Tech, Zolkifli Mohammed, ia adalah melalui pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), pendidikan luar bandar dan pembangunan bina daya insan.

"Bagi program TVET, ia dilaksanakan di Perda Tech dengan menawarkan tujuh program sijil dan enam program diploma.

"Bagi sesi pengambilan Julai ini, sebanyak 215 tempat dibuka untuk program sijil manakala manakala 150 tempat lagi membabitkan program diploma.

"Justeru kami mengalu-alukan mereka terutama pelajar lepasan SPM yang meminati bidang kemahiran mengambil peluang yang disediakan ini," katanya.

Jelasnya, sehingga 2020 menunjukkan graduan yang tamat pengajian di bawah Perda Tech adalah 10,452 orang.

"Pencapaian Perda Tech pada 2022 menunjukkan 75 peratus graduan berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang yang mereka pelajari, 13 peratus bekerja di luar bidang manakala 12 peratus lagi memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Selain itu, Zolkifli berkata, bagi memastikan capaian pendidikan sampai ke semua peringkat dan golongan, Perda Tech juga menawarkan program pengajian kepada pelajar tercicir atau tidak memiliki kelayakan akademik melalui program jangka pendek dikenali Senarai Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (Sakti).

"Program jangka pendek itu turut ditawarkan kepada pelajar pusat tahfiz dan madrasah sekitar Perda Tech di bawah Program TVET Madaris@Perda Tech selaras dengan kehendak kerajaan untuk melahirkan hufaz berkemahiran.

"Semua program yang ditawarkan Perda Tech mematuhi garis panduan kualiti pihak Malaysian Qualifications (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)," katanya.

Dalam pada itu, Perda Tech juga adalah antara institusi terawal yang mendapat kelulusan pematuhan garis panduan baru iaitu 'Code od Practice for TVET Programme Accreditation (COPTA).

Untuk maklumat lanjut mengenai Perda Tech dan program yang ditawarkan, layari https://www.perda-tech.edu.my/

Disiarkan pada: Jun 20, 2023 @ 10:51am

Sumber Artikel : Harian Metro

AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.