Nurul Izzah jadi tukang jahit

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
Oleh Muhammad Yusri Muzamir - Julai 31, 2023 @ 3:52pm

TASEK GELUGOR: "Akhbar Berita Harian banyak membantu saya menerima tempahan menjahit pakaian sehingga turut berpeluang menjahit baju Perdana Menteri," luah graduan Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Nurul Izzah Mohd Asri, 25.

Bakat gadis orang kurang upaya (OKU) yang mesra disapa sebagai Iza itu semakin dikenali sehingga dia diminta untuk menghasilkan baju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

"Asalnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membaca artikel mengenai saya yang disiarkan BH dan beliau menghubungi PERDA untuk mendapatkan maklumat lanjut. Beliau kemudian meminta saya menjahitkan baju kurung moden berona merah jambu.

"Beliau yang berpuas hati dengan hasil jahitan saya kemudian mengesyorkan saya kepada Anwar untuk menghasilkan kemeja batik, baru-baru ini," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Ditanya pengalaman menjahit baju Anwar, anak jati kelahiran Kampung Merbau Kudung, di sini yang namanya turut diambil sempena nama anak Perdana Menteri itu, mengakui teruja berpeluang mengukur dan menghasilkan sendiri pakaian pemimpin utama negara.

Biarpun gugup dan hanya memiliki ketinggian 115 sentimeter (cm), dia tidak kekok untuk mengambil ukuran badan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dengan bantuan kerusi.

"Saya sangat teruja kerana diminta hadir ke suatu lokasi untuk bertemu dan mengambil ukuran badan Anwar. Sangat mudah untuk bekerja dengan beliau dan Perdana Menteri memberi kebebasan kepada saya untuk menentukan corak kain serta potongan tertentu bagi kemeja beliau.

"Disebabkan inilah saya letakkan perhatian yang lebih ketika menghasilkan kemeja Anwar dengan setiap perincian jahitan akan dipastikan betul-betul kemas sebelum beralih untuk menjahit bahagian baju yang lain.

"Biasanya saya boleh siapkan sepasang baju dalam tempoh sehari, tetapi saya memerlukan tempoh yang lebih untuk menyiapkan kemeja Anwar ini," katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang menerusi hantaran di Facebook mengagumi bakat Iza, selain menyifatkan gadis itu sangat memberi inspirasi, terutama bagi golongan OKU.

Malah, katanya, kekurangan Iza bukanlah penghalang untuk beliau meneruskan cita-cita sebagai tukang jahit sejak di alam persekolahan.

"Lumrah menjadi OKU, Iza berdepan pelbagai tohmahan apabila ramai yang mengejek fizikalnya, terutama ketinggiannya. Namun, saya kagum, Iza memilih untuk mengabaikan segala komen negatif dan menumpukan sepenuhnya pada matlamat yang ingin dicapainya.

"Betul apa orang kata, perjalanan hidup OKU tidak semudah orang lain. Tetapi sekarang, saya rasa semua orang yang pernah mempersenda Iza akan mengalami kejutan terbesar. Saya minta Iz jahit baju Melayu buat PMX (Anwar) dan baju kurung untuk saya.

"Jahitan Iza memang cantik, kemas dan teliti. Paling penting fitting setiap inci sangat tepat! Sesiapa yang tengah cari tukang jahit untuk tempahan baju khas, jangan malu untuk cari Nurul Izzah di laman sosial Nurul Izzah Tailor atau hubungi talian01172548983.

"Iza menjadi antara kebanggaan besar buat Pulau Pinang. Kita sama-sama sokong usaha dan hasil lokal. Confirm (pasti) puas hati," katanya.

Sumber Artikel : BHONLINE

AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.