Perda sasar kembangkan Usahawan Mentor Mentee tahun depan

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA  |  2 Disember 2023, 2:54 pm

SEBERANG PERAI – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berhasrat mengembangkan program Usahawan Mentor Mentee yang diperkenalkan tahun ini dengan melatih 55 lagi usahawan baharu mulai tahun depan.

Pengurus Besar, Mohd. Asri Baharum berkata, ini susulan kejayaan penganjuran program tersebut tahun ini apabila ada dalam kalangan peserta yang terlibat itu mampu meraih peningkatan pendapatan sehingga mencecah 90 peratus berbanding sebelum ini.

“Untuk program ini sebenarnya, konsepnya agak ‘lari’ sedikit daripada program (latihan keusahawanan) lain kerana ia tidak dibuat secara terbuka atau beramai-ramai sebaliknya, kita fokus usahawan itu secara ‘personal’ (individu).

“Contohnya dalam program mentor mentee ini, mereka (usahawan) iaitu seramai 55 orang kena ikut (program) kami selama sekurang-kurangnya enam bulan dengan 16 siri kelas (keusahawanan).

“Kita bantu mereka bermula daripada perkara asas (dalam perniagaan) sehingga mereka faham dari segi perakaunan dan pemasaran selain perlu menjalani latihan amali dengan (bimbingan) mentor masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Himpunan Keusahawanan Perda 2023 (Hike Perda) yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri, Rashidi Zinol di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, di bawah program Usahawan Mentor Mentee ini juga, Perda turut memberi tumpuan terhadap usahawan dalam bidang lain selain makanan.

Katanya, antara bidang itu termasuk perkhidmatan menggunting rambut, perniagaan pembuatan umpan tiruan serta perkhidmatan pencucian bangunan.
-KOSMO! ONLINE


Sumber Artikel : KOSMO ONLINE 


AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.