Produk IKS perlukan strategi pemasaran lebih berkesan

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
10 Oktober 2023  |  Pulau Pinang

INDUSTRI Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan antara sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Di Pulau Pinang, terdapat banyak produk keluaran IKS tempatan yang berkualiti sama ada dari segi cita rasa atau pembungkusan yang dilihat agak menarik dan setanding dengan produk jenama popular yang ada di negara ini.

Menurut Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zainol, kekurangan dari promosi telah menyebabkan banyak produk IKS tempatan masih belum dikenali dalam kalangan penggemar produk lokal.

Beliau berkata, beberapa strategi pemasaran yang lebih berkesan perlu difikirkan oleh pihak-pihak berkaitan termasuk agensi-agensi Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan IKS mempromosikan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.

“Kita lihat di Pulau Pinang banyak sekali produk keluaran usahawan IKS tempatan yang mana kalau dilihat dari segi jenama dan pembungkusan boleh pergi lebih jauh dari pemasaran.

“Apa yang saya lihat hasil daripada lawatan ke Perda Food Park, produk-produk IKS mempunyai memampuan dari segi pengeluaran yang mana kemudahan untuk penghasilan produk itu telah tersedia.

“Mungkin yang kurang adalah dari segi strategi promosi yang menyebabkan banyak produk IKS yang dilihat berkualiti tetapi gagal di pasarkan secara lebih meluas sekali gus gagal mencapai profit yang ditetapkan.

“Oleh itu, sebagai Exco Pembangunan Keusahawanan saya bertanggungjawab menyelesaikan masalah-masalah tentang pemasaran ini dan membawa produk usahawan IKS ke peringkat nasional atau global,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara sempena lawatan tapak agropelancongan dekat Jeti Nelayan Labuh Banting, Tasek Gelugor pada 5 Oktober lalu.

Difahamkan, Perda Food Park yang kini menempatkan 27 buah kilang IKS tempatan akan diperluaskan dan dijenamakan sebagai Halal Park pada tahun 2025 bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Pasukan khas pemasar produk

Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, bagi tujuan membantu usahawan IKS mengembangkan lagi pasaran produk mereka, satu pasukan pemasaran khas bakal diwujudkan bagi tujuan tersebut.

“Sebelum ini kita sudah ada bahagian pengurusan tetapi usahawan tetap berdepan masalah kerana mereka perlu mengendalikan sendiri perniagaan mereka dari proses pengeluaran produk sehingga ke pemasaran dan keadaan ini sangat memenatkan.

“Ini kerana kerja-kerja pemasaran bukan sesuatu yang mudah… sebab itu usahawan perlu melantik syarukat khas yang mempunyai pengalaman dan ada rangkaian dalam bidang ini dan sudah pastinya memerlukan kos.

“Oleh itu, selain menyediakan tempat untuk usahawan menjalan perniagaan, kita juga sedang melihat beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi membantu usahawan dari segi promosi produk.

“Usaha ini boleh dijalankan melalui kerjasama beberapa agensi yang terlibat seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan lain-lain,” cadang beliau lagi.

Rashidi berkata, penubuhan jawatan kuasa khas tersebut adalah pelengkap kepada pelbagai inisiatif dan program telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Perda sebelum ini.

“Kerajaan Negeri dan Perda telah melaksanakan pelbagai program seperti Expo Usahawan dan Pesta Pulau Pinang yang bagi saya memberi impak cukup besar dalam mempromosi produk usahawan tempatan.

“Selain itu, pelbagai program khusus untuk membantu usahawan seperti bengkel latihan, menyediakan geran dan pembiayaan, sumbangan peralatan, menyediakan kemudahan pengeluaran dan lain-lain.

“Justeru, penubuhan jawatankuasa khas ini sebagai pelengkap untuk kita mempromosikan prokus IKS tempatan secara lebih agresif dengan memperkenalkan produk mereka ke setiap daerah.

“Pada masa sama, kita juga berhasrat untuk mewujudkan satu program sebagai platform untuk menghimpunkan semua produk dan kita akan bina satu pusingan yang boleh promosikan secara lebih meluas,” jelasnya lagi.

Wujudkan lebih banyak DesaMall

Rashidi berkata, usahawan juga boleh memaksimumkan peranan DesaMall dekat Tasek Gelugor yang kini menjadi hab pemasaran bagi produk yang diusahakan oleh usahawan desa di negeri ini.

“Desamall@PERDA ini diwujudkan untuk membuka lebih banyak peluang dalam bidang keusahawan secara dalam talian dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Hab pemasar produk local seperti ini perlu diwujudkan lebih banyak terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti Batu Ferringhi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

“Tempat-tempat ini sememangnya menjadi tumpuan orang ramai untuk pelbagai urusan dan usahawan IKS boleh memanfaatkan ruang ini untuk memasarkan produk mereka terutamanya produk makanan,” ujarnya sambil mencadangkan supaya DesaMall turut diwujudkan di kelima-lima daerah di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Artikel Penuh : Buletin Mutiara

GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2023

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2024 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.