BUTTERWORTH: Sebanyak 870 buah syarikat di Pulau Pinang kini memiliki sijil halal aktif yang dikeluarkan oleh Sistem Pensijilan Halal Malaysia (SPHM).
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ini sekali gus menjadikan negeri ini sebagai negeri ketiga selepas Selangor dan Johor yang mempunyai jumlah pemegang sijil halal tertinggi di Malaysia.
Menurut beliau, jumlah sijil halal itu meliputi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, premis makanan, farmaseutikal, kosmetik, barangan pengguna, rumah sembelihan, logistik dan peranti perubatan.
“Pencapaian ini hasil daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan industri halal melalui transformasi tadbir urus serta peningkatan kecekapan sistem pensijilan.
“Kerajaan negeri juga telah menambah kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan Halal Negeri kepada dua kali sebulan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan menangani isu berkaitan pensijilan dengan lebih tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, MPIHPP ditubuhkan secara rasmi pada 22 Januari 2025 menerusi kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dengan penglibatan 25 jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
“Penubuhan majlis ini sejajar dengan penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (MPIH) peringkat persekutuan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat pada 3 Disember 2024.
“MPIHPP juga menjadi platform penting dalam menggembleng usaha ke arah ekosistem halal yang menyeluruh, daripada pengeluaran, pengedaran sehingga ke tahap pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, usaha memperluas penyertaan usahawan bumiputera dalam ekosistem halal akan terus dipergiat, terutamanya menerusi pemilikan sijil halal SPHM. – UTUSAN
Sumber Artikel : Utusan Malaysia