Pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
12 Mei 2025   |  The Light Hotel, Seberang Jaya

Pembangunan industri halal merupakan sebuah agenda yang sedang diperkasakan oleh pihak Kerajaan bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar produk dan perkhidmatan yang kompeten di peringkat global.

Sebagai salah sebuah agensi pemilik dan peneraju taman industri halal di Pulau Pinang, usaha-usaha terus dipergiatkan oleh PERDA agar peluang dan potensi industri ini dapat dinikmati oleh usahawan-usahawan di negeri ini khususnya mereka yang terlibat dalam industri pemprosesan produk makanan dan minuman.

Setakat ini, sejumlah 120 ekar kawasan tanah milik Perda telah diperuntukkan bagi membangunkan Taman IKS PERDA Food Park , Kubang Menerong Tasek Gelugor yang berperanan sebagai sebuah pusat pengeluaran produk makanan dan minuman halal yang kini sedang giat beroperasi melibatkan lebih 20 syarikat PMKS di bawah bimbingan PERDA.

Selaras dengan mandat yang diberikan oleh pihak kerajaan bagi memajukan industri halal, Perda telah mengorak langkah ke hadapan bagi mengukuhkan peranan dan penglibatan agensi ini melalui pelbagai strategi secara bersepadu dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan di pelbagai peringkat.

Pada hari ini, sejarah baharu telah tercipta. Satu MoU antara PERDA dan Penang Halal International Sdn. Bhd. (sebuah agensi di bawah Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang) telah dimeterai bagi mengukuhkan jalinan kerjasama strategik dalam pembangunan industri halal di Pulau Pinang. Kerjasama ini adalah selaras dengan gesaan YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia yang mengharapkan agar agensi dan jabatan yang terlibat dalam industri ini melaksanakan peranan secara kolektif merentasi apa jua sempadan bagi menggerak dan memajukan industri halal ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama industri ini di peringkat global.

Adalah diharapkan agar kerjasama antara Perda dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini menjadi penanda aras penting ke arah pemerkasaan industri halal di peringkat nasional.

GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2025

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2025 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.