EXPERT 2025 sasar jualan RM2 juta, tarik 75,000 pengunjung

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

17 Julai 2025 04:04pm

EXPO PERDA (EXPERT) 2025 yang bakal berlangsung di Midtown PERDA, Kubang Menerong pada 16 hingga 19 Oktober ini dijangka menarik lebih 75,000 pengunjung dengan nilai sasaran jualan dan kontrak mencecah RM2 juta.

Program tahunan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) itu merupakan platform strategik dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan, khususnya dari luar bandar negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata, EXPERT 2025 menjadi bukti komitmen agensi itu dalam memperkasakan usahawan bumiputera melalui pemerkasaan pasaran dan pendedahan kepada teknologi serta saluran digital.

“Penganjuran EXPERT 2025 adalah medan promosi berskala besar untuk usahawan tempatan memperkenalkan produk mereka, selain membuka peluang kepada mereka berinteraksi dengan pasar raya, syarikat besar dan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pra Pelancaran EXPERT 2025 di sini pada Khamis.

Menurut beliau, expo yang bertemakan Transformasi Digital, Reformasi Keusahawanan itu bakal menampilkan 252 reruai termasuk reruai masakan panas, jualan automotif, produk pertanian, perkhidmatan dan studio siaran langsung TikTok Shop.

“Ini bukan sekadar expo biasa. Kita sediakan dua segmen utama iaitu Pesta Cita Rasa @ EXPERT dan Studio Live Booth TikTok untuk bantu usahawan bukan saja berniaga secara fizikal tetapi juga menjana pendapatan melalui platform digital.

"Antara aktiviti tarikan utama yang bakal diadakan termasuk program pensijilan halal untuk pengusaha ‘homebased’, Pitch Usahawan Muda, jualan Agro Madani, forum perdana, pertandingan memanah, EXPERT Run, pertunjukan fesyen kanak-kanak serta konsert malam bersama artis popular tanah air," katanya.

Selain itu, Shaik Hussein berkata, program seperti Hyper Business Matching juga akan diadakan bagi membuka peluang jaringan kerjasama antara usahawan dan syarikat utama serta pasar raya.

"EXPERT 2025 turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan antaranya Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Belia dan Sukan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Sebanyak 18 usahawan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut mengambil bahagian manakala agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Felcra Berhad dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga dijangka menghantar wakil penyertaan masing-masing," katanya.

Tambah Shaik Hussein, harga reruai yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu antara RM450 hingga RM700 bagi tempoh empat hari program.

“Dengan harga yang rendah, kami mahu lebih ramai usahawan tampil ke hadapan dan berani menonjolkan produk mereka.

"Sasaran utama kami adalah memperkasa usahawan luar bandar agar mampu bersaing secara mampan dalam era digital,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, EXPERT 2025 turut menerapkan transaksi tanpa tunai (cashless) dalam kalangan pembeli dan penjual.

"Walaupun bukan secara keseluruhan, namun kita akan cuba untuk melaksanakan 'cashless' bagi lebih memudahkan urusan jual beli," katanya.

Shaik Hussein turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke expo tersebut dan menyifatkan EXPERT 2025 sebagai platform yang bukan hanya bermanfaat kepada usahawan, malah pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan tempatan berkualiti serta hiburan keluarga.

Sumber Artikel : Sinar Harian
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2025

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2025 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.