Alhamdulillah, Majlis Pengenalan dan Pengaktifan DEMAS @ PERDA Seri Nelayan Community Centre telah berlangsung dengan jayanya, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa kemudahan komuniti setempat.
Dewan ini merupakan bekas Dewan Taman Kuala Sungai Pinang yang telah dinaik taraf dengan wajah baharu dan menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 15 April 2025. Kemudahan ini kini bersedia untuk digunakan oleh komuniti dalam pelbagai kapasiti.
Majlis pengaktifan ini telah dianjurkan oleh Bahagian Hartanah & Teknikal PERDA sebagai inisiatif memperkenalkan kemudahan tersebut dan mempromosikan penggunaannya sebagai ruang sewaan bagi aktiviti komuniti. Turut diadakan sempena majlis ini ialah bacaan Yassin dan doa selamat, yang disertai oleh lebih 40 orang penduduk tempatan.
Sebelum itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengesanan Projek/Program Bil. 7/2025 turut berlangsung di lokasi sama, dengan kehadiran lebih 50 orang pegawai PERDA bagi membincangkan perkembangan dan pemantauan projek semasa.
Dengan siapnya penaiktarafan ini, dewan tersebut diharapkan dapat menjadi pusat aktiviti komuniti yang kondusif dan bermanfaat, serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk Kuala Sungai Pinang dan kawasan sekitarnya.