14 Mei 2025 | Kubang Menerong
Kompleks PERDA Food Park, Kubang Menerong telah menerima kunjungan lawatan pendedahan industri daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Negeri Pulau Pinang melibatkan seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada anggota tentera yang bakal menamatkan perkhidmatan dari pelbagai kem di utara tanah air.
Lawatan ini diketuai oleh tenaga pengajar, Tuan Leftenan Mohd Saopi Haron (B), dan merupakan kohort ke-2 bagi tahun ini. Objektif utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta berkaitan dunia keusahawanan dan pengurusan perniagaan selepas tamat perkhidmatan dalam angkatan tentera.
Sepanjang lawatan, para peserta didedahkan dengan proses pengurusan operasi perniagaan serta proses pengeluaran produk makanan bermula dari peringkat awal sehingga produk siap sedia untuk dipasarkan.
Pendedahan ini diharap dapat memberi inspirasi dan keyakinan kepada para peserta dalam merancang hala tuju mereka selepas menjadi orang awam, khususnya dalam menceburi bidang perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pihak PERDA berbesar hati menerima kunjungan ini dan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk membina usahawan baharu, khususnya daripada kalangan bekas anggota tentera yang berpotensi tinggi serta berdisiplin dalam menguruskan perniagaan.
PERDA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta dan berharap perkongsian ilmu serta pengalaman ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam perjalanan mereka menjadi usahawan yang berjaya.
Foto : Alimin Azmi
GALERI GAMBAR