07 Februari 2025 | Merbau Kudung, Sungai Dua, SPU
PERDA peruntuk RM49,500.00 untuk Program Kembali ke Sekolah
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan sebanyak RM49,500 kepada 330 murid bagi membantu mereka membeli keperluan sekolah sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.
Pengerusi PERDA Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata penerima merupakan murid daripada golongan keluarga miskin, asnaf, ibu tunggal dan berpendapatan rendah (B40) di Pulau Pinang.
“Menerusi program PERDA 4U itu, kami telah memilih seramai 330 murid dari 36 buah sekolah rendah bimbingan Perda di Pulau Pinang bagi memberi bantuan kembali ke sekolah tahun ini.
“Setiap murid akan menerima bantuan dalam bentuk baucar bernilai RM150 untuk membeli pakaian, kasut dan stoking sekolah dan kami harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mereka bagi menghadapi permulaan sesi persekolahan baharu 2025 ini.
Beliau berkata program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah PERDA yang berorientasikan pemberian bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal dan keluarga B40 di dalam kawasan operasi lembaga itu.
Shaik Hussein berkata jumlah peruntukan itu tidak mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga yang memiliki bilangan anak yang ramai bersekolah, namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga miskin dan B40 ketika sekolah dibuka nanti.
“Program ini merupakan program tahunan dan kami harap pada tahun-tahun depan lebih ramai lagi PERDA dapat bantu (khususnya) murid sekolah, fokus kita (PERDA) di Pulau Pinang memang untuk bantu golongan memerlukan iaitu B40 dan golongan lain termasuk peniaga dan usahawan, hari ini kami fokus kepada bantuan sekolah,“ katanya.
GALERI GAMBAR