Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) meneruskan komitmennya terhadap pembangunan komuniti luar bandar menerusi Majlis Pelancaran Program PERDA Santuni Komuniti Madani Tahun 2025 yang telah berlangsung di Padang Pokok Machang hari ini 20 Julai 2025.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin, Pengerusi PERDA, yang turut dihadiri lebih daripada 500 penduduk setempat serta wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Program ini yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, merupakan satu platform menyeluruh untuk menyampaikan maklumat, bantuan serta perkhidmatan kerajaan secara terus kepada masyarakat, khususnya di kawasan desa. Ia bakal dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri Pulau Pinang bermula Julai hingga November 2025.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein menegaskan bahawa usaha turun padang ini adalah sebahagian daripada strategi PERDA untuk mengurangkan jurang bandar-desa, dan memperkasa rakyat melalui pendekatan yang bersifat inklusif dan mesra komuniti.
“PERDA mahu mengurangkan jurang antara masyarakat bandar dan desa. Atas faktor ini kami turun padang hari ini, menyantuni rakyat dan membawa perkhidmatan terus ke pintu komuniti,” katanya.
Program ini juga menyaksikan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan NGO yang membuka kaunter pameran, perkhidmatan kaunseling serta aktiviti kesihatan, pendidikan dan kekeluargaan bagi manfaat pengunjung.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan inklusif PERDA yang diselaraskan bersama aspirasi Malaysia Madani, dengan objektif memperkukuh jaringan sosial dan ekonomi komuniti luar bandar secara menyeluruh.
Turut hadir pada majlis pelancaran program pada hari ini adalah YBhg. Dato' Haji Omar bin Abd Hamid, Ahli Lembaga Pengarah PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum, Pengurus Besar PERDA, YBrs. Tuan Haji Anuar bin Haji Shahab, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), PERDA, YBrs. Puan Noor Hayati binti Ishak, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), PERDA, YBrs. Encik Mohd Hafiz bin Nurulhuda, Pengarah FAMA Negeri Pulau Pinang.