Seramai 182 penerima Anugerah Pengiktirafan PERDA dan 26 penerima Anugerah Great Health Saver telah diraikan dalam Majlis Penghargaan PERDA 2024 yang diadakan bersekali dengan Perhimpunan Bulanan Jun di Dewan Mutiara Wawasan.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan, dedikasi dan komitmen tinggi warga kerja PERDA yang telah menyumbang secara signifikan dalam mengharumkan nama organisasi. Ia juga bertujuan menyuntik semangat dan dorongan kepada seluruh warga PERDA untuk terus melakar kejayaan dalam setiap bidang tugasan.
Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Asri bin Baharum, Pengurus Besar PERDA, diiringi oleh Puan Noor Hayati binti Ishak, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), dan Encik Amir Amri bin Ahmat, Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga penganugerahan ini menjadi pencetus inspirasi kepada semua warga PERDA untuk terus menabur bakti, mengukuhkan integriti dan menjulang kecemerlangan PERDA ke tahap yang lebih tinggi.